
Bungkusan itu adalah hasil dari petani Sabah yang cuba diperkenalkan oleh seorang pengusaha, Nina Othman.
Nina, pengasas ‘Grow the Goose’ – sebuah syarikat yang mengajar kanak-kanak cara mendisiplinkan kewangan mereka, menjelaskan kepada FMT baru-baru ini bagaimana dia berpindah ke Sabah membawa seluruh keluarganya pada bulan Disember 2018 untuk menjalankan perniagaannya itu.
Namun, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun 2020, bengkel dan kuliah ‘Grow the Goose’ terhenti.

Ketika itulah Nina, bersama dengan pengusaha lain di Sabah menyedari ramai petani di Sabah terjejas akibat pandemik.
“Sabah dilanda teruk kerana petani di sini sangat bergantung pada pelancongan, malahan kedudukan lokasi yang terpencil menjadikan keadaan bertambah buruk.
“Ketika orang lain beralih kepada perniagaan dalam talian, masyarakat Sabah tidak dapat melakukannya,” ujar Nina sambil menambah bahawa kebanyakan dari mereka sudah terbiasa menjual produk mereka di pasar tempatan.
Dengan pemikiran seperti itu, Nina berusaha mencari jalan untuk membantu petani-petani ini.
“Saya ada terbaca mengenai kotak hadiah yang dihantar kepada keluarga dan rakan-rakan di Kuala Lumpur. Lalu merasakan bahawa ia adalah cara terbaik yang dapat digunakan untuk menyatukan semua penduduk tempatan yang berbeza kaum di Sabah,” ujar wanita berusia 40 tahun itu.

Dikenali sebagai kit kolaborasi ‘Love from Sabah’, setiap kotak bertujuan membawa Sabah kepada anda yang mana setiap kit mempunyai sembilan jenis barang yang dituai khas oleh petani yang tinggal di kawasan pedalaman Sabah.
Item pertama di dalam kotak tersebut adalah sebotol garam herba wangi yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan yang dikenali sebagai Dumo.

Menurut Nina, Dumo telah menjual herba segar di pasar tempatan namun ketika PKP dilaksanakan, mereka terpaksa mengeringkan herba tersebut dan membotolkannya.
“Sekarang Dumo mengajar suri rumah di Ranau untuk menanam herba segar seperti ‘rosemary’ dan ‘thyme’ menggunakan teknik pertanian semulajadi. Mereka kini berharap dapat meluaskan pasaran dengan bereksperimen dengan cili padi, garam dan lada hitam,” ujarnya.

Seterusnya di dalam kit terdapat madu lebah popular yang berasal dari petani di Sipitang. Mereka bekerjasama dengan seorang pengusaha yang membantu membekalkan madu dengan jenama Madu Kelulut Asli Haji Awang.
Terdapat juga balang aromatik yang diisi dengan kayu manis tuaian masyarakat di Keningau. Setelah dituai, kulit kayu manis diproses oleh Kokoriu, sebuah syarikat yang membantu petani mengilang dan memproses kulit kayu manis menjadi serbuk.

Inginkan semangkuk soto yang sedap? Jangan khuatir kerana item keempat dalam kit ini adalah paste soto tanpa pengawet yang enak diperbuat daripada bahan-bahan segar yang dituai oleh suri rumah di Keningau.
Selanjutnya adalah kacang kulit merah panggang dalam pakej penjagaan. Ia dibekalkan oleh pengusaha Farni, yang mengumpulkannya dari petani kacang di Pitas, sebelum memasak menggunakan kaedah memanggang tradisional.

Kit ini juga dilengkapi dengan dompet tenunan kulit buluh, masing-masing menampilkan motif khas Dusun atau Murut.
Item terakhir di dalam kotak itu pula dibuat oleh perniagaan pembuatan coklat anak lelaki Nina, Koko Loko.
“Koko Loko bekerjasama dengan petani biji koko di Kota Belud dan Ranau. Kami menukar biji koko dalam makanan ringan berasaskan koko. Pelanggan boleh mencuba Cocoa Granola dan Cocoa Rubble kami,” ujar Nina.
Pelanggan juga boleh menggunakan semula kit yang mesra alam itu.

Setiap kit dilengkapkan dengan setem Sabah, poskad dan butiran setiap usahawan pada produk mereka.
“Baru-baru ini kami melancarkan kit ‘ujian’ dan dalam waktu kurang dari 24 jam, sebanyak 20 kotak terjual,” ujar Nina sambil menambah bahawa sambutan luar biasa benar-benar menyentuh semua pengusaha Sabah itu.
“Dengan pandemik yang sedang kita lalui ini sememangnya akan menjatuhkan semangat namun, kami berharap dapat membuka pintu kepada penduduk di Semenanjung yang telah mencuba kit sampel kami, mungkin berminat untuk membeli produk tersebut secara langsung dari pengusaha-pengusaha Sabah di sini.
“Ideanya adalah untuk membawa sedikit Sabah kepada semua kerana kita tidak dapat melakukan perjalanan jauh di saat ini,” kata Nina.
Anda juga boleh membantu petani-petani dan pengusaha Sabah dengan membeli kit ‘Love from Sabah’ di sini. Untuk keterangan lanjut, lihat halaman Instagram Nina Othman.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]