
Tidak ada siapa menyangka, di sebalik keadaan hidup merempat yang tidur di bawah jambatan, seorang lelaki gelandangan mempunyai bakat terpendam sebagai peragawan.
Bakat Ali Olakunmi itu hanya disedari secara kebetulan apabila seorang pengarah kreatif di Nigeria memintanya memperagakan pakaian sambil menunggu kehadiran model sebenar ke satu sesi fotografi.
Lagaknya yang bersahaja umpama model profesional mengundang rasa kagum di kalangan netizen selepas melihat beberapa keping gambar yang dimuat naik pengarah kreatif itu di media sosial.
Rata-rata netizen terpegun melihat gambar terbabit dan tidak menyangka Ali sebenarnya adalah seorang gelandangan tetapi kelihatan seperti model profesional.
“Sekali imbas, saya sangkakan dia seorang model profesional. Lagaknya amat semula jadi.
“Saya berharap satu hari nanti peluang akan terbuka buatnya dan ia boleh mengubah kehidupannya,” tulis @MadQueenLady.
Pada masa sama, Pengarah Kreatif yang dikenali Afolabi itu sempat menceritakan bagaimana dia bertemu dengan Ali sebelum diminta melakukan sesi fotografi.
“Saya mempunyai sesi fotografi di Ikeja dan sementara menunggu model tiba, kami memutuskan untuk bertemu seorang lelaki bernama Ali yang tidur di bawah jambatan,” tulisnya.
Satu video tular turut menunjukkan Ali sedang nyenyak tidur di bawah sebuah jambatan berhampiran landasan keretapi.
Dia dikatakan terus bersetuju ketika ditanya sama ada boleh menjadi model sementara untuk mereka.
Afolabi berkata, pasukannya terdiri daripada juru gaya, pereka dan seorang jurugambar kemudiannya mengubah penampilan Ali yang sesuai untuk sesi fotografi itu.
“Saya ingin percaya bahawa Ali sebenarnya dilahirkan untuk melakukan perkara ini. Gaya, struktur badan serta tona kulitnya amat sempurna sekali,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]