Shanghai buka hotel tertinggi dunia

Shanghai buka hotel tertinggi dunia

J Hotel membuka pintu kepada pengunjung yang ingin menikmati pengalaman menginap di hotel paling tinggi itu.

Pengunjung kini boleh merasai pengalaman menginap di Hotel J yang terletak di bahagian atas Menara Shanghai. (Gambar AFP)

Jika anda sanggup membayar 3,088 yuan (RM1,985) untuk bermalam di sebuah hotel tertinggi dunia, J Hotel baru saja membuka pintunya kepada pengunjung.

Hotel mewah itu terletak di bahagian atas Menara Shanghai yang berketinggian 632 meter iaitu bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai.

Walaupun bukan semua orang mampu menginap di hotel mewah itu namun pengalamannya pasti berbaloi apabila tetamu berpeluang menikmati hidangan di restoran terletak di tingkat 120 bangunan terbabit.

Selain itu, mereka juga akan menerima layanan umpama raja dengan khidmat pelayan tamu atau ‘butler’ 24 jam.

Pembukaan hotel itu ditangguhkan sebelum ini akibat pandemik Covid-19 dan kini mereka mula menerima kehadiran pengunjung yang teringin merasai nikmat kemewahan ditawarkan di J Hotel.

Hotel ini menyediakan tujuh restoran, bar, spa, kolam renang di tingkat 84 serta pelbagai kemudahan lagi bertaraf ‘kayangan’.

Tawaran harga RM1,985 adalah kadar istimewa diberikan pihak hotel namun mereka yang mempunyai poket lebih tebal boleh menempah penginapan di bilik suite mereka.

Penginapan semalaman di ‘J Suite’ yang lengkap dihiasi dengan lampu kristal dan sauna itu dikatakan mencecah lebih 67,000 yuan (RM43,086)

“Pada hari pembukaan hotel ini, laman sesawang kami diserbu dengan pengunjung yang berminat untuk membuat tempahan.

“Mereka begitu tertarik dan teringin untuk merasai pengalaman menginap di hotel tertinggi ini.

“Sudah tentu kami gembira dengan sambutan daripada orang ramai namun perlu komited untuk memastikan semua tetamu dilayan dengan baik,” kata Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Renee Wu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.