Bas awam boleh jadi pengangkutan utama, jika tingkat mutu perkhidmatan

Bas awam boleh jadi pengangkutan utama, jika tingkat mutu perkhidmatan

Peningkatan populasi Malaysia tentunya akan menyebabkan jumlah kereta turut bertambah dan memburukkan lagi masalah sedia ada.

Mutu perkhidmatan sistem pengangkutan bas awam di seluruh Malaysia harus dipertingkatkan agar lebih ramai orang akan menggunakannya sebagai pengangkutan utama.

Rakyat Malaysia lebih suka menggunakan kereta sebagai pengangkutan utama berbanding bas awam disebabkan kualiti perkhidmatan yang kurang memuaskan.

Akibatnya, terlalu banyak kereta di jalan raya sehingga membawa kepada masalah seperti kesesakan lalu lintas yang teruk (terutamanya di bandar), risiko kemalangan jalan raya lebih tinggi, pencemaran udara serta pemanasan global disebabkan pelepasan gas rumah hijau oleh kereta dan tekanan terhadap pemandu disebabkan kesesakan lalu lintas.

Sekiranya perkhidmatan bas awam diperluaskan dan menjadi lebih cekap, maka orang awam lebih digalak menggunakannya sebagai pengangkutan utama berbanding kereta persendirian.

Pada pendapat saya, antara langkah yang harus diambil kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan bas awam adalah:

  • Membina dan menyediakan lebih banyak bas awam serta memperluaskan perkhidmatannya ke seluruh Malaysia, selain menambah kekerapan perkhidmatan supaya penumpang tidak perlu tunggu lama.
  • Memastikan pengendali serta pemandu bas sentiasa mengikut jadual perjalanan dan tidak sesekali lewat memulakan perjalanan.
  • Menaik taraf serta membersihkan bas, stesen dan terminal bas, khususnya yang lama dan kotor di seluruh negara supaya orang awam lebih selesa menggunakan perkhidmatan itu.
  • Menggunakan bas elektrik atau gas hidrogen sebagai bahan api agar lebih mesra alam.
  • Mengenakan yuran lebih murah di peringkat permulaan. Setelah kekerapan dan jumlah penumpang bertambah, yuran parkir kereta dalam bandar boleh diselaraskan. Selain itu, cukai import untuk pembelian kereta boleh dilaksanakan.

Peningkatan populasi Malaysia tentunya akan menyebabkan jumlah kereta turut bertambah dan memburukkan lagi masalah sedia ada.

Oleh itu, kerajaan harus mempertimbang dan melaksanakan langkah proaktif dalam meningkatkan mutu perkhidmatan sistem pengangkutan bas awam di seluruh Malaysia untuk menjadi pengangkutan utama.

 

JV ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.