Pengusaha bas pelancong masih tertekan walau harga diesel turun

Pengusaha bas pelancong masih tertekan walau harga diesel turun

Persatuan berkata hanya dengan memasukkan pengusaha bas dan van pelancong sebagai penerima subsidi mekanisme terbaik meringankan beban industri secara menyeluruh.

bas persiaran
Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mahu memberikan subsidi kepada syarikat pengangkutan pelancongan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penurunan harga diesel tanpa subsidi sebanyak 75 sen iaitu kepada RM5.97 seliter belum memberi kelegaan kepada pengusaha bas dan van pelancong kerana ia tidak menjamin harga bahan api itu tidak kembali melonjak minggu depan.

Timbalan Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP), Wan Shairi Wan Ahmad, berkata hanya dengan memasukkan pengusaha bas dan van pelancong dalam kategori penerima subsidi mekanisme terbaik meringankan beban industri secara menyeluruh.

“Kenapa kerajaan tidak mahu memberikan subsidi kepada syarikat pengangkutan pelancongan? Data Kementerian Kewangan pada 2025, industri pelancongan menjana pendapatan RM112 bilion dari (inbound tourism) dan RM120 bilion (domestic tourism).

“Kenapa kami yang berikan pendapatan kepada negara tidak diberi keutamaan? Kami sebenarnya ada hak untuk menuntut subsidi jika melihat pendapatan yang kami bawa kepada negara,” katanya kepada FMT.

Beliau juga mendakwa, bagi tempoh Mei hingga Julai tiada sebarang tempahan pengangkutan dibuat bagi sektor itu.

“Dari segi harga, kita sudah lebih tinggi tetapi masalah utama adalah harga yang turun naik setiap minggu. Kebanyakan pelancong (pengusaha) menerima tempahan antara satu ke tiga bulan sebelum ketibaan.

“Kami juga tidak boleh membuat tawaran harga yang tepat untuk permintaan bulan Mei, Jun ke atas sebab tidak ada kepastian harga,” katanya.

Katanya, pelanggan hanya sanggup membayar tetapi mahu jaminan harga tidak berubah.

“Jadi, macam mana pihak kami boleh berniaga tanpa tahu harga khusus. Kita bagi harga sekarang dan Mei…Jun dan Julai diesel naik siapa yang akan tanggung, kalau ada subsidi dengan itu kami terapkan harga tawaran,” katanya.

Beliau memberi contoh di Thailand harga diesel RM5.40 dan kerajaan memberikan subsidi kepada bas pelancongan sekitar 52 sen seliter bagi memastikan harga pakej pelancongan dan tambang tidak melonjak.

“Begitu juga Indonesia harga tanpa subsidi RM3.27 di mana agensi pelancongan mempunyai bas persiaran mendapat subsidi RM1.56,” katanya.

Rabu lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan harga diesel tanpa subsidi menurun sebanyak 75 sen iaitu kepada RM5.97 seliter berbanding RM6.72 seliter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.