Produktiviti, bukan bantuan kunci tangani kenaikan kos

Produktiviti, bukan bantuan kunci tangani kenaikan kos

Inisiatif mesti merangkumi penyelesaian jangka panjang dan pengawasan lebih ketat.

Kos sara hidup semakin meningkat di Malaysia, daripada kenaikan harga makanan sehingga perumahan terus membebankan belanjawan isi rumah, sekali gus menyebabkan ramai bergelut memenuhi keperluan hidup.

Sebagai respons, kerajaan memperkenalkan strategi dua hala iaitu bantuan segera dan penyelesaian jangka panjang untuk memupuk keselamatan kewangan.

Dengan langkah ini, kerajaan berharap dapat meringankan beban kewangan dan menggalakkan mobiliti ekonomi. Bagaimanapun, kejayaannya akan bergantung kepada pendekatan berorientasikan hasil.

Bantuan segera untuk golongan rentan

Untuk membantu golongan paling memerlukan, Putrajaya memperkenalkan bantuan dalam bentuk wang tunai dan keperluan asas seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

Dengan peruntukan RM13 bilion yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ia akan memberikan bantuan wang tunai kepada sembilan juta rakyat, bersamaan 60% daripada populasi dewasa.

Di bawah Sara iaitu komponen STR, kira-kira 4.1 juta isi rumah golongan rentan akan menerima RM100 secara bulanan untuk membeli barangan keperluan.

Bagaimanapun, sejarah dan ekonomi menunjukkan pemberian bantuan semata-mata tidak menawarkan penyelesaian jangka panjang kepada cabaran seperti peningkatan kos sara hidup.

Pemberian bantuan menambah kecairan dalam ekonomi dan meningkatkan kuasa beli tetapi tiada peningkatan sepadan dalam produktiviti.

Ini mendorong perniagaan menaikkan harga sekali gus menyumbang kepada inflasi lebih tinggi.

Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kini dihentikan memberikan beberapa pengajaran berharga.

Sebagai program bantuan tunai jangka pendek tanpa pelan reformasi struktur atau langkah meningkatkan produktiviti, impaknya dalam jangka panjang adalah terhad.

Untuk menghasilkan manfaat berkekalan, keutamaan mesti diberikan kepada dasar yang mengaitkan pertumbuhan pendapatan dengan produktiviti.

Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan kemahiran diperlukan dalam tenaga kerja, mengaitkan kenaikan gaji dengan peningkatan prestasi kerja dan memperkukuh sektor utama seperti pertanian serta perumahan untuk meningkatkan kapasiti bekalan sambil mengurangkan tekanan harga.

Perlu rangsangan besar

Mempelajari kemahiran yang diperlukan adalah kunci untuk membina daya tahan jangka panjang.

Bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan RM7.5 bilion untuk program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), yang mana pada 2023 mencatat kadar kebolehpasaran 96.5% – berbanding 88.3% dalam kalangan graduan pendidikan tinggi.

Ini juga membuka laluan kepada pekerjaan dengan gaji lebih tinggi dalam sektor sedang berkembang seperti AI, teknologi hijau dan pembuatan termaju.

Inisiatif seperti Dasar Gaji Progresif dengan peruntukan RM200 juta, memberi insentif kepada perniagaan untuk menaikkan gaji melebihi RM5,000 sebulan bagi mereka yang berprestasi cemerlang dan memiliki kemahiran sesuai.

Ini memastikan pertumbuhan gaji menyokong pembangunan ekonomi yang mampan tanpa meningkatkan inflasi.

Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 berkuat kuasa Februari ini akan memberikan sedikit kelegaan kepada pekerja berpendapatan rendah. PKS mempunyai tempoh hingga Ogos untuk melaksanakannya.

Bagi meningkatkan peluang pekerjaan, RM200 juta diperuntukkan kepada Khazanah untuk mengisi 11,000 tenaga kerja dalam bidang semikonduktor bawah Program Pembangunan K-Youth seliaannya.

Pada 2023 ia berjaya menyediakan pekerjaan kepada 83% daripada 8,381 peserta.

Bagaimanapun, mengembangkan program ini untuk mencapai puluhan ribu kawasan luar bandar yang kurang mendapat perkhidmatan tetap penting.

Kerjasama dengan sekolah dan organisasi komuniti tempatan boleh merapatkan jurang kebolehcapaian.

Utamakan kemampanan dan pendigitalan

Fokus utama dalam usaha memperkukuh tenaga kerja adalah kepada kemampanan dan pendigitalan.

Bagi menggalakkan penyertaan sektor swasta, jaminan kerajaan dan rebat kadar faedah ditawarkan kepada syarikat yang mengamalkan teknologi hijau bawah peruntukan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau RM1 bilion.

Penjimatan daripada pengurangan kos pinjaman dan perbelanjaan operasi dijangka disalurkan kepada pengguna, seterusnya mengekalkan harga rendah sambil meningkatkan produktiviti.

Ia juga mencipta pekerjaan dalam reka bentuk, pemasangan dan penyelenggaraan sistem tenaga boleh diperbaharui untuk penduduk tempatan.

Pelaburan sebanyak USD16.9 bilion daripada gergasi teknologi Google, AWS dan Microsoft akan meletakkan Malaysia sebagai hab digital serantau.

Misalnya, pelaburan USD2 bilion oleh Google dalam pusat data dan AI dijangka mencipta 26,500 pekerjaan menjelang 2030.

Sama seperti di Amerika Syarikat, Malaysia boleh mengamalkan dasar yang mengaitkan insentif cukai untuk pelaburan pusat data dengan kuota bagi pengambilan pekerja tempatan dan ganjaran yang adil.

Memastikan keselamatan makanan dan rumah mampu milik

Melihat kepada kepentingan makanan dan perumahan, hampir RM4 bilion diperuntukkan untuk memenuhi keperluan asas ini.

Sebanyak RM300 juta akan diperuntukkan bagi membiayai kerjasama antara persekutuan dan negeri bagi meningkatkan pengeluaran bahan makanan asas seperti beras dan ikan.

Digabungkan dengan RM2.78 bilion subsidi untuk petani dan nelayan, langkah ini diharap dapat menstabilkan harga makanan tempatan sambil mengurangkan kebergantungan terhadap import.

Bagaimanapun, penyasaran subsidi yang lebih kukuh dan kawalan ketat penting untuk mengelakkan penjualan semula baja bersubsidi dan ketirisan diesel murah ke pasaran haram.

Putrajaya memperuntukkan RM900 juta bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat dalam usaha menangani masalah kekurangan perumahan.

Tetapi, cabaran seperti kelemahan dari segi pengagihan unit, birokrasi dan tidak cukup penyelenggaraan masih wujud. Tadbir urus lebih baik diperlukan untuk menangani isu tersebut dan memenuhi permintaan semakin meningkat.

Kesimpulan

Pelan komprehensif yang menawarkan kedua-dua penyelesaian jangka pendek dan panjang kini sudah dilaksanakan.

Reformasi struktur memastikan bahawa penekanan diberikan kepada penyelesaian yang mampan berbanding langkah sementara.

Namun, Malaysia juga mempunyai rekod dalam memperkenalkan dasar yang bercita-cita tinggi, tetapi sering terhalang oleh jurang pelaksanaan seperti pengawasan yang tidak konsisten, kelemahan koordinasi, dan komunikasi tidak berkesan.

Merapatkan jurang antara perancangan dan pelaksanaan akan membolehkan Putrajaya mengatasi halangan semasa dan membina ekonomi lebih berdaya tahan serta makmur untuk masa depan.

 

Jamil A Ghani adalah calon PhD di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura dan pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.