
“Hak untuk perumahan bermakna hak untuk tinggal di suatu tempat dengan selamat, aman dan bermaruah — bukan di flat yang sesak, usang atau kawasan setinggan yang mudah dilanda banjir,” Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya.
Malaysia kini berada di persimpangan. Sudah terlalu lama pusat bandar kita — yang dahulunya menjadi simbol kemajuan dan kepelbagaian — dibiarkan merosot akibat pengabaian, infrastruktur usang dan perancangan lemah. Jika kita terus mengabaikannya, banyak kawasan kejiranan akan terus mengalami kemerosotan, sekali gus menjejaskan kualiti hidup berjuta rakyat.
Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) merupakan peluang kita untuk mengubah keadaan ini. Ia bukan tentang kondominium mewah atau proses penggentrifikasian — sebaliknya ia adalah tentang memastikan rakyat Malaysia biasa mempunyai akses kepada kediaman selamat, bermaruah dan selesa untuk didiami. Ia tentang membaiki apa yang rosak — dan melakukannya dengan betul.
Akta ini mencadangkan apa yang sekian lama kita perlukan: kerangka undang-undang sewajarnya, pampasan yang telus, rundingan awam dan pendekatan pembangunan semula berteraskan rakyat. Ia membawa kita keluar daripada era rundingan pintu belakang yang mencurigakan dan pembangunan tidak terkawal — ke arah satu sistem adil, telus dan mampan.
Malangnya, daripada bekerjasama untuk membaiki apa yang rosak, segelintir pihak pembangkang sekali lagi menggunakan taktik lama — mempergunakan isu kaum untuk menimbulkan ketakutan. Jenis politik malas seperti ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah langsung tidak membantu menyelesaikan masalah sebenar dihadapi rakyat Malaysia setiap hari.
Minggu lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menjemput Ahli Parlimen pembangkang untuk melawat flat usang di Lembah Klang bagi melihat sendiri keperluan mendesak pembaharuan bandar. Namun, tiada seorang pun yang hadir. Mereka memilih untuk berdiam diri — selesa mengkritik dari jauh berbanding menunjukkan kepimpinan.
Pada masa sama, masalah berkaitan terus menimbun. Di tempat seperti Rifle Range di Pulau Pinang — yang dahulunya menjadi model perumahan awam yang progresif — bangunannya kini semakin uzur. Penduduk terpaksa berdepan dengan sistem pendawaian lapuk, serangan makhluk perosak, pengudaraan lemah, serta lif kerap rosak. Ramai memohon bantuan sejak bertahun lalu, namun usaha sering tergendala akibat kerenah birokrasi dan ketiadaan mekanisme undang-undang nasional yang menyeluruh.
Pulau Pinang telah cuba bertindak sendiri, tetapi tanpa sokongan persekutuan, niat yang baik sekalipun akan terhalang oleh kekangan pentadbiran. URA mampu mengubah keadaan ini — dengan memberikan kuasa dan sumber mencukupi kepada negeri untuk bertindak secara tegas, sambil memastikan tiada komuniti tertinggal.
Justeru, apabila ada ahli politik tertentu yang mendakwa bahawa URA merupakan ancaman kepada tanah atau warisan Melayu, kita harus bersuara bahawa dakwaan berkenaan adalah satu bentuk penyelewengan maklumat. Hak orang Melayu termaktub dan dilindungi sepenuhnya bawah Perlembagaan Persekutuan — dan perkara ini ditegaskan berulang kali oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
URA adalah satu alat kemajuan yang menjunjung prinsip keadilan dan membawa harapan. Ia adalah tentang memastikan anak-anak kita membesar dalam persekitaran selamat, dengan akses kepada taman dan laluan bersih — bukannya koridor dipenuhi tikus dan bahaya. Sambil memastikan warga emas kita hidup dengan selesa dan tidak dibayangi ketakutan akan runtuhan bangunan. Rifle Range, seperti banyak komuniti lain di seluruh negara, bersifat majmuk. Melayu, Cina, India — semuanya bergelut dengan isu sama: infrastruktur yang gagal berfungsi, bangunan tidak selamat, dan kekurangan perkhidmatan asas.
Menyokong URA bermakna memilih sebuah Malaysia untuk semua — bukan hanya untuk mereka yang bernasib baik tinggal di sebalik kawalan keselamatan dan berpagar.
Akhirnya, pilihan yang ada amat jelas: baiki apa yang rosak — atau biarkan ia kian runtuh, dan kami memilih untuk membaikinya.
Syerleena Abdul Rashid adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.