
Seorang pakcik pernah berseloroh ketika saya berada di sebuah warung kopi: “Kalau ahli politik kita masuk pertandingan debat antara sekolah, ramai kena tendang sebab biadab mulut!”
Semua ketawa. Tapi itu bukan lawak — itu cerminan. Politik hari ini semakin rancak, tetapi nadanya kasar, isinya tohor, dan lidahnya tidak lagi terikat oleh adab. Kita sedang menyaksikan satu era di mana kelantangan dianggap kejantanan, dan penghinaan dianggap keberanian.
Di mana hilangnya budiman?
Politik budiman bukanlah mitos dongeng klasik Melayu. Ia pernah hidup dalam wacana politik tanah air. Ia bukan sekadar berbahasa halus, tetapi berpaksikan maruah, hormat dan hikmah.
Namun hari ini, yang mendominasi bukan hujah bernas, tetapi siulan sarkastik dan sindiran beracun. Sembang politik lebih banyak memfitnah daripada menasihati, lebih gemar membakar daripada menyuburkan akal.
Barangkali kita terlalu lama dijamu dengan realiti politik yang sensasi hingga lupa bahawa dalam demokrasi pun, kita masih wajib berbudi.
Antara ‘engagement’ dan kerosakan nilai
Ramai pemimpin muda hari ini berlumba-lumba menangguk perhatian — TikTok jadi mimbar, ‘like’ jadi mandat, dan ‘viral’ jadi penanda kejayaan. Tetapi dalam keghairahan itu, siapa yang mengawal sempadan nilai?
Ada yang memuat naik rakaman sesi Parlimen hanya untuk memalukan lawan. Ada yang menjadikan sidang media sebagai pentas mengejek dan memanipulasi. Ada pula yang menjawab kritikan dengan cercaan peribadi.
Semua ini dilakukan atas nama ‘strategi komunikasi digital’ — walhal yang sedang dikorbankan ialah nilai keinsanan dan budiman dalam politik.
Apabila politik menjadi pentas lakonan — rakyat bukan lagi khalayak yang dihormati, tetapi hanya penonton yang ditertawakan.
Dunia sudah ke depan — kita masih ulang skrip lama
Lihat bagaimana negara-negara seperti New Zealand dan Finland mengetengahkan pemimpin muda yang matang, berpaksikan idea, dan menghormati perbezaan.
Jacinda Ardern, misalnya, mengundurkan diri dari politik dengan penuh rasa tanggungjawab dan keinsafan — bukan kerana kalah, tetapi kerana sedar masa dan tenaganya perlu ditumpukan untuk memberi ruang kepada kepimpinan baharu. Itu budiman.
Di rantau Asia Tenggara, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, digantung tugas oleh Mahkamah Perlembagaan hanya kerana disyaki melanggar etika kerajaan apabila rakaman perbualan sulitnya dengan pemimpin Kemboja tersebar.
Walaupun belum terbukti bersalah, sistem di sana cukup tegas dan pantas bertindak — tanda mekanisme demokrasi masih hidup.
Sementara itu, di tanah air sendiri, Rafizi Ramli — selepas tewas dalam pemilihan PKR — memilih untuk berundur dari jawatan menteri ekonomi dan meninggalkan kabinet.
Tindakan itu pada mulanya disambut sebagai satu bentuk tanggungjawab politik. Namun beberapa hari kemudian, beliau tampil membuat kenyataan mengejutkan bahawa presiden parti telah ‘menjerit selama 20 minit kepadanya dalam mesyuarat kepimpinan’ — satu dakwaan yang kemudiannya dinafikan oleh beberapa pemimpin parti yang turut hadir.
Peristiwa ini menunjukkan betapa mudahnya satu isyarat politik budiman boleh terbatal apabila emosi dan kenyataan terburu-buru mengatasi adab dan musyawarah.
Dalam demokrasi matang, tanggungjawab tidak berakhir dengan perletakan jawatan — ia diteruskan melalui akhlak selepas berundur.
Dua contoh tadi — satu tindakan sistem, satu lagi tindakan peribadi — memberikan satu gambaran: demokrasi yang berfungsi memerlukan bukan sahaja undang-undang yang adil, tetapi juga pemain politik yang rela bertanggungjawab dan tahu meletakkan hikmah di hadapan emosi.
Bila agama jadi alat politik — rosak imej Islam itu sendiri
Yang lebih mendukacitakan ialah apabila parti-parti yang membawa nama Islam tidak lagi menjulang akhlak Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman, tetapi menjadikan agama sebagai senjata politik.
Mereka tidak lagi menjadi duta kebenaran dan rahmah, sebaliknya memperdagangkan ayat-ayat suci untuk kepentingan kuasa.
Hari ini, tidak sedikit pemimpin dari parti bernuansa Islam yang gemar melabel lawan sebagai “kafir harbi”, “munafik politik”, “anti-Islam”, hanya kerana tidak bersetuju dengan pandangan mereka.
Ada yang memanipulasi khutbah, doa dan ceramah agama sebagai alat kempen — sedangkan dalam sejarah Islam, dakwah tidak pernah dipaksa masuk ke peti undi.
Apabila hukum hanya digunakan untuk menghukum, bukan mendidik; apabila khutbah Jumaat diselipkan mesej politik kepartian yang memecah-belahkan; apabila jubah dan serban jadi topeng kepada kerakusan kuasa — maka hilanglah roh dakwah sebenar.
Islam itu agama yang memuliakan musyawarah, bukan membenarkan cerca. Islam menegakkan keadilan, bukan memperalatkan hukum demi untung sebelah pihak.
Jika parti yang berlabel Islam pun gagal menjadi budiman, maka siapa lagi yang rakyat mahu harapkan?
Budiman bukan bermakna lembik
Ada juga yang menyangka bahawa menjadi budiman itu bererti menjadi lemah. Salah.
Menjadi budiman dalam politik adalah tentang keberanian menjaga lidah dalam marah, dan kecekalan memegang prinsip tanpa merendahkan sesiapa.
Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman pernah berkata, “Saya tidak mahu jadi Melayu yang hanya tahu marah dan memekik, tetapi tidak tahu berfikir.”
Ini bukan soal tua atau muda, tetapi soal nilai. Kita perlukan pemimpin yang faham bila perlu bersuara, bila perlu mendengar, dan bila perlu berundur demi maslahat bersama.
Budiman itu bukan lambat — budiman itu teratur. Bukan tidak tegas — tapi tahu meletakkan maruah sebelum kuasa.
Politik bukan lampu ajaib, pemimpin bukan Aladdin
Bayangkan seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan bernaung di bawah panji parti Islam, memperlekehkan usaha seorang Perdana Menteri dengan momokan yang dirancang, bukan yang pasti.
Memanglah. Tapi perlu juga ingat bahawa seorang Perdana Menteri bukan Aladdin dengan lampu ajaibnya. Gosok sahaja terus menjadi.
Usaha berterusan untuk membuka ruang ekonomi untuk negara bukan perkara mudah. Ia menuntut kebijaksanaan, kesabaran dan kepercayaan — bukan sindiran harian dan ejekan berulang.
Politik tidak harus membunuh peradaban
Hari ini, kita lihat perpecahan dalam kalangan rakyat bukan lagi soal dasar, tetapi soal tokoh.
Politik idola membunuh logik. Sokongan membuta tuli menggantikan pertimbangan waras.
Paling menakutkan, ramai pemimpin sanggup menormalisasi budaya keji demi memastikan pengikut terus bersorak.
Dan yang menanggungnya bukan mereka — tetapi rakyat, terutama anak-anak muda yang sedang mencari erti demokrasi yang sebenar.
Kalau hari ini mereka belajar bahawa menjadi lantang itu bermakna biadab, dan menjadi pemimpin itu bermakna berlidah dua — maka rosaklah generasi masa depan.
Kita belum cukup matang, tapi belum terlambat
Politik budiman bukan cita-cita utopia. Ia pernah wujud — dalam dewan Parlimen, dalam ceramah kampung, dalam surat khabar dan mimbar masjid.
Ia boleh muncul semula jika cukup ramai yang berani menolak suara sumbang dan memilih untuk berbahas, bukan membidas.
Kita tidak minta semua orang jadi malaikat. Kita cuma mohon agar medan politik tidak menjadi kandang fitnah dan dendam.
Malaysia perlu lebih daripada sekadar pemimpin yang tahu bercakap — kita perlukan pemimpin yang tahu bila diam itu lebih bernilai.
Dan kalau kita jujur, kita mesti berani mengaku: “Ya, kita masih jauh lagilah…”
Tapi kalau mahu mula berjalan ke arah itu — inilah masanya!
Mohamed Nasser Mohamed ialah seorang karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.