Tiada mesyuarat khas bincang Anwar jumpa Agong, kata Annuar

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata parti itu dan semua wakil rakyat berpegang kepada keputusan tidak akan bekerjasama dengan DAP, Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Majlis kerja tertinggi Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak mengadakan sebarang mesyuarat khas bagi membincangkan langkah Presiden PKR Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menjelaskan sokongan diterimanya dalam usaha membentuk kerajaan baharu.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata, parti itu dan semua wakil rakyat berpegang kepada keputusan tidak akan bekerjasama dengan DAP, Anwar dan Dr Mahathir Mohamad.

“Setakat ini tiada keperluan untuk bincang, dasar sedia ada kekal,” katanya kepada FMT ketika ditanya sama ada Umno dan BN mengadakan perbincangan khusus susulan dakwaan Anwar mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, tidak menjalinkan kerjasama dengan DAP, Anwar dan Mahathir antara 10 dasar diputuskan sebelum ini selain BN menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara “en bloc”.

Katanya, semua ahli Parlimen BN menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri termasuk menjemput PPBM menyertai Muafakat Nasional (MN) yang turut disertai Umno dan PAS.

Annuar berkata, dasar seterusnya termasuk BN, PAS dan PPBM perlu bermuafakat bagi mengelak pertandingan 3 penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“BN,PAS dan PPBM bentuk jawatankuasa 5 orang dari setiap parti untuk runding kerusi. Rundingan telah bermula. BN bertanding atas logo sendiri. BN setuju bentuk GRS di Sabah bersama PN, PBS. Setiausaha agung diarah sentiasa berhubungan dan bekerjasama antara parti komponen dan parti sahabat. Sentiasa mengadakan mesyuarat JK,” katanya.

Katanya, selagi 10 dasar diputuskan itu tidak diubah, parti itu termasuk rakan parti sahabat akan terus bekerjasama walaupun berdepan kesukaran.

Bulan lalu, Anwar mendakwa mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baharu. Beliau dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Susulan pengumuman Anwar seorang demi seorang wakil rakyat Umno menafikan kononnya menyokong ketua pembangkang itu sebagai perdana menteri termasuk membuat laporan polis.

Terbaharu, polis turut mengesahkan memanggil Anwar untuk diambil keterangan berhubung penyebaran senarai 121 ahli Parlimen didakwa menyokongnya untuk membentuk kerajaan baru.