Selangor tangguh solat berjemaah, aktiviti masjid, surau

Selangor tangguh solat berjemaah, aktiviti masjid, surau

Dalam tempoh PKPB solat fardu berjemaah hendaklah dilaksanakan dalam jumlah jemaah tidak melebihi 3 orang manakala azan dikumandangkan seperti biasa setiap waktu.

Keputusan menangguhkan solat berjemaah dan aktiviti di masjid serta surau dibuat selaras penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) selama 14 hari di Selangor.
SHAH ALAM:
Solat Jumaat, solat fardu berjemaah dan aktiviti mengimarahkan masjid serta surau di Selangor, ditangguhkan bermula waktu subuh esok hingga 27 Oktober bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selaras penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) selama 14 hari di negeri itu.

Beliau berkata, penangguhan solat berjemaah dan aktiviti mengimarahkan masjid serta surau melibatkan 425 masjid, 278 surau kebenaran solat Jumaat, dan 1,747 surau.

“Pentadbir masjid dan surau di Selangor hendaklah memastikan solat Jumaat tidak dilaksanakan sepanjang tempoh penangguhan ini, sebaliknya jemaah menggantikannya dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

“Solat fardu berjemaah pula hendaklah dilaksanakan dalam jumlah jemaah yang tidak melebihi 3 orang sahaja, manakala azan dikumandangkan seperti biasa setiap waktu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahzihan berkata, aktiviti mengimarahkan masjid dan surau yang ditangguhkan sementara itu meliputi kuliah Maghrib, Subuh dan Dhuha, serta program agama yang lain.

Katanya, langkah itu dibuat selari hasrat JAIS untuk memastikan pentadbir masjid dan surau dapat memberi kelangsungan keselamatan, kesejahteraan serta perlindungan terhadap ahli kariah masing-masing daripada menerima sebarang kesan penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu katanya, JAIS turut menangguhkan pelaksanaan majlis akad nikah di masjid dan surau di Selangor, sepanjang penguatkuasaan PKPB.

Shahzihan bagaimanapun berkata, pelaksanaan majlis akad nikah dengan kehadiran fizikal tidak melebihi 3 orang di pejabat agama Islam daerah hanya akan dilakukan selepas mendapat kelulusan khas JAIS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.