PAS mahu penjelasan Umno pertimbang tarik diri daripada PN

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

PETALING JAYA: PAS melalui Muafakat Nasional (MN) akan mendapatkan penjelasan Umno berhubung langkah parti itu mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun yakin apa jua perkara boleh diselesaikan.

“Ini melalui perbincangan dalaman antara semua parti terlibat,” katanya ringkas kepada FMT hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan semalam yang mengumumkan parti itu akan mempertimbangkan menarik diri daripada menyokong PN dan menetapkan syarat baru kepada kerajaan untuk meneruskan kerjasama politik.

Ahmad dilaporkan berkata, syarat baru Umno akan dikemukakan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang dijadualkan berlangsung hari ini. Namun, beliau tidak memperincikan pertemuan itu.

Semalam, Presiden PKR, Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong selama sejam untuk mempersembahkan sokongan ahli Parlimen kepadanya bagi menubuhkan kerajaan baru.

Ketua pembangkang itu pada sidang media petang semalam berkata, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan menemui beberapa pemimpin parti politik dalam beberapa hari ini selepas beliau menyerahkan dokumen membuktikan sokongan ahli Parlimen kepadanya.

Katanya, beliau mendapat sokongan lebih 120 ahli Parlimen dan dokumen sahih yang diserahkannya kepada Agong terdiri daripada akuan bersumpah dan pengesahan ketua parti.

Bagaimanapun, Istana Negara memaklumkan Anwar hanya mengemukakan jumlah, bukannya senarai nama ahli Parlimen untuk mengukuhkan dakwaannya mempunyai sokongan mencukupi.