Pejuang cadang Dr M jadi PM semula sehingga PRU15

Pejuang cadang Dr M jadi PM semula sehingga PRU15

Cadangan itu menyusul kenyataan bekas perdana menteri itu tidak menyokong 'mana-mana individu' menggantikan Muhyiddin Yassin.

Jawatankuasa Penaja Pejuang sebulat suara mencadangkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri semula untuk menyelamatkan negara sementara menunggu PRU15 diadakan.
PETALING JAYA:
Parti baru, Pejuang mencalonkan Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri semula sementara menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Setiausaha politik Mahathir, Abu Bakar Yahya berkata, cadangan itu bertujuan menyelamatkan negara.

“Kami ahli Jawatankuasa Penaja Pejuang telahpun memutuskan dengan sebulat suara Mahathir sebagai calon perdana menteri bagi menggantikan perdana menteri yang ada sementara menunggu PRU15.

“Jika negara mahu diselamatkan,” tulisnya di Facebook hari ini.

Kenyataan itu menyusul tindakan Mahathir dan 4 ahli Parlimen menyokongnya, memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin atas dakwaan perdana menteri gagal mentadbir negara ketika negara dilanda Covid-19 dan keraguan terhadap majoriti yang diperolehinya.

Cubaan pada Mei lalu gagal kerana kekurangan masa di Dewan Rakyat.

Seramai 11 ahli Parlimen Amanah turut memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin semalam.

Dewan Rakyat akan bersidang semula 2 Nov ini.

Usul undi tidak percaya itu menyusul pengumuman ketua pembangkang, Anwar Ibrahim pada 23 Sept lalu yang mendakwa mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Beberapa parti dalam kerajaan Perikatan Nasional menafikan memberi sokongan kepada Anwar, tetapi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengakui ramai ahli Parlimen parti itu menyokong ahli Parlimen Port Dickson itu.

Semalam, Mahathir dilaporkan meragui Anwar mempunyai majoriti mencukupi di Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri dan negara akan terus berada dalam ketidaktentuan politik walaupun beliau mendapat sokongan ahli Parlimen bagi menubuhkan kerajaan baru.

Selasa lalu, Mahathir berkata, beliau tidak menyokong mana-mana individu sebagai calon perdana menteri.

Terdahulu, pegawai kepada Zahid hari ini menafikan dakwaan pengerusi Barisan Nasional itu menulis surat bertarikh 11 Okt kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong Anwar menjadi perdana menteri baru dan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.