
Menurut pembantunya, Sufi Yusoff, bekas perdana menteri dibawa keluar seketika dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas lebih 20 hari menerima rawatan, namun belum dibenarkan pulang ke rumah.
“(Beliau) memilih untuk menikmati segelas ‘ice chocolate’ pada ‘outing’ pertamanya sejak dimasukkan ke IJN pada 6 Jan bagi rawatan dan pemulihan selepas terjatuh di kediamannya.
“(Beliau) kemudian dibawa semula ke IJN. Beliau masih belum dibenarkan pulang ke rumah dan akan terus menerima rawatan di IJN,” katanya dalam kenyataan.
Mahathir yang ditemani isteri, Dr Siti Hasmah Ali, meluangkan masa kira-kira 40 minit di kafe tersebut, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif IJN Dr Mohamed Ezani Md Taib serta sekumpulan pegawai perubatan.
Awal bulan ini, Mahathir dimasukkan ke IJN selepas terjatuh di kediamannya di The Mines, mengakibatkan tulang pinggul kanannya patah.
Menurut anaknya Mukhriz, bapanya dinasihatkan berehat antara dua hingga tiga minggu memandangkan pembedahan bukan pilihan sesuai berikutan faktor usia Mahathir yang sudah mencecah 100 tahun.