
Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata, siasatan polis sedang dijalankan dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, siasatan masih di peringkat awal dan sampel air perlu diambil untuk dianalisis bagi mengetahui punca atau lokasi sebenar pencemaran itu berlaku.
“Proses ini memakan masa dan memerlukan bantuan pakar dan forensik. Kami sedang menyiasat dengan bantuan LUAS dan JAS untuk mengenal pasti mereka yang terlibat.
“Tindakan tegas dari sudut undang-undang akan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan berlaku pemutusan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau bagi menjalankan sebarang pengeluaran.
Semalam, Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor fasa 1,2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang dihentikan tugas akibat pencemaran sumber air mentah pada 2 pagi semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati bahan pelarut merupakan punca pencemaran bau yang sama dengan kejadian pada awal bulan lalu, bagaimanapun punca sebenar pencemaran masih dalam siasatan.
Beliau berkata, beberapa kawasan kilang dikenal pasti menjadi punca pencemaran itu dan beliau tidak menolak kemungkinan bahan pelarut itu dibuang kilang haram yang beroperasi di sekitar Selangor.
Awal pagi semalam, sejumlah 1,196,457 akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, selepas 4 LRA Sungai Selangor dihenti tugas ekoran pencemaran sumber air mentah.