Pendaftaran MN kukuh sokongan kepada kerajaan, kata Tuan Ibrahim

Pendaftaran MN kukuh sokongan kepada kerajaan, kata Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS itu berkata ia adalah gabungan penting dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yakin dengan penyertaan PPBM ke dalam gabungan itu ia turut menjadi nilai tambah bagi mengukuhkan sokongan rakyat kepada kerajaan.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yakin pendaftaran Muafakat Nasional (MN) sebagai gabungan yang sah akan mengukuhkan sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN).

“Kami yakin ia adalah gabungan penting dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, dengan penyertaan PPBM ke dalam gabungan itu ia turut menjadi nilai tambah bagi mengukuhkan sokongan rakyat kepada kerajaan.

Semalam, 2 parti Melayu terbesar Umno dan PAS, bersetuju mendaftarkan kerjasama politik mereka, MN, selepas Umno mencadangkannya secara terbuka dalam kenyataan baru-baru ini.

Setiausaha agung I dan II gabungan itu Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan, mengumumkan kepimpinan kedua-dua parti bersetuju mengorak langkah itu di sebalik penangguhan jawatankuasa perunding MN yang sepatutnya bertemu Isnin lalu.

Sebelum ini, Umno mencadangkan kepada PAS supaya mendaftarkan MN sebagai gabungan yang sah ketika mengumumkan pertimbangannya untuk menarik diri daripada menyokong PN, yang disertai PAS.

Peneraju PN, PPBM, pada Ogos menyatakan hasrat untuk menyertai MN selepas diundang secara rasmi, namun akar umbi Umno dikatakan tidak selesa dan tidak bersetuju dengan idea itu.

Ketika ini, Umno mempunyai 39 ahli Parlimen manakala PAS pula 18 ahli Parlimen. Lapan wakil rakyat MN memegang jawatan di peringkat eksekutif dalam pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden PPBM.

MN adalah kerjasama politik antara Umno dan PAS yang terjalin secara rasmi pada 14 September tahun lalu, menyusuli kekalahan Umno dan gabungan pimpinannya, Barisan Nasional pada PRU 2018 di tangan PPBM dan Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.