Polis siasat catatan didakwa dibuat pemimpin DAP atas hasutan

Polis siasat catatan didakwa dibuat pemimpin DAP atas hasutan

Polis juga sedang menyiasat 3 catatan lain di media sosial atas hasutan terhadap Agong.

Polis sedang menyiasat 4 catatan di media sosial, termasuk catatan di Facebook Ronnie Liu.
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat 4 catatan media sosial atas hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, termasuk satu catatan di Facebook pemimpin DAP, Ronnie Liu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dalam kenyataan hari ini, memberikan butiran 4 catatan itu.

Mengenai catatan di Facebook Liu, Huzir berkata, ia berkaitan sekeping gambar yang dimuat naik baru-baru ini mengenai demonstrasi di Thailand dengan keterangan gambar “Now in Bangkok. They are saying no to the King”.

Katanya, siasatan ke atas pemilik akaun Facebook itu dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Katanya, polis sedang mengesan suspek untuk mengambil keterangan mereka.

Tiga lagi catatan media sosial individu berlainan juga sedang disiasat di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ia berkaitan penghinaan terhadap Agong dan “tujuh wasiat raja-raja Melayu”.

Seorang suspek, lelaki berusia 52 tahun, yang memiliki akaun Twitter “Liew Lip Nan” ditahan di Cheras malam tadi.

Siasatan sedang dijalankan ke atas pengguna Twitter itu kerana mempertikaikan video yang dimuat naik laman rasmi Twitter Majlis Keselamatan Negara berkaitan “tujuh wasiat raja-raja Melayu” dan polis sedang memohon perintah reman.

Huzir berkata, polis sedang mengesan pemilik akaun Twitter “Uncle Ireeve” dan Facebook “Ho Ruey Terng”.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas suspek kerana menghasut. Semua pemilik akaun Facebook dan Twitter yang dikenal pasti diminta menyerah diri di Unit Siasatan Jenayah Terkelas di Bukit Aman.

“Sekiranya ingkar, polis akan mengesan dan menangkap mereka yang terlibat.

“Polis menggesa rakyat sentiasa menghayati prinsip rukun negara, iaitu kesetiaan kepada raja dan negara bagi mengelakkan perlakuan cenderung menghasut terhadap raja atau kerajaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.