2 lelaki direman 7 hari kes lelaki rentung dalam SUV

2 lelaki direman 7 hari kes lelaki rentung dalam SUV

Polis menunggu keputusan DNA untuk mengenal pasti identiti mangsa yang ditemui terbakar dalam sebuah SUV 28 Okt lalu.

Seorang lelaki ditemui rentung dalam SUV yang terbakar berhampiran Stesen LRT Kota Warisan Sepang, Rabu lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua lelaki direman selama 7 hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes seorang lelaki ditemui rentung dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) bersebelahan Jalan Airport 2, Air City Business Centre berhampiran Stesen LRT Kota Warisan Sepang, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata, lelaki masing-masing berusia 37 dan 42 tahun itu adalah rakan kepada mangsa dan bekerja sebagai kontraktor.

“Polis sedang menunggu keputusan DNA untuk mengenal pasti identiti mangsa yang ditemui terbakar dalam sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati kenderaan itu dimiliki seorang lelaki, melalui pemeriksaan terhadap casis Toyota Harrier berkenaan.

Pada 28 Oktober, polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki mendakwa terdengar bunyi letupan pada 3.30 pagi di kawasan semak di lokasi berkenaan.

Polis juga menemui kesan kebakaran dalam lingkungan 10m dari lokasi SUV itu ditemui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.