
Ia boleh dilakukan dengan cara seperti pengurangan saiz perkhidmatan awam dan pembaharuan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), menurut Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Shankaran memberitahu FMT, krisis Covid-19 mendedahkan kelemahan sistemik dalam ekonomi dan kepentingan jaringan keselamatan sosial.
Katanya, sekarang adalah masa terbaik untuk menanganinya kerana “jika kita terlepas peluang ini untuk mengubah model ekonomi kita, kita akan ketinggalan”.

Beliau mendakwa perkhidmatan awam dijadikan alat untuk mewujudkan pekerjaan, peranan yang menurutnya perlu diserahkan kepada sektor swasta.
Perkhidmatan awam negara yang mempunyai 1.6 juta pekerja menjadi kebimbangan sekian lama, dengan perbelanjaan operasi menjadi sebahagian besar belanjawan negara setiap tahun.
Perbelanjaan untuk gaji dan pencen kerajaan meningkat daripada RM22 bilion dan RM5.9 bilion pada 2003 kepada RM82 bilion serta RM27 bilion pada 2019.
“Saiz perkhidmatan awam perlu dikecilkan dan tanpa pencen, tetapi mungkin dengan sedikit ganjaran,” kata Shankaran.
Beliau berkata, ini akan membolehkan lebih banyak sumber diperuntukkan kepada kemudahan penjagaan kesihatan untuk semua, terutama pesara.
Kerajaan, katanya, boleh membantu semua pesara dengan memberikan elaun sara hidup minimum berbanding pencen hanya untuk penjawat awam.
Merujuk GLC, Shankaran berkata, mereka hanya perlu terlibat dalam projek yang memerlukan pelaburan besar dan tempoh lama untuk pembinaan.

Chua Tia Guan, ketua perunding cukai dan kewangan di Asia Business Center, berkata Malaysia akan kalah kepada negara jirannya kecuali semua sektor ekonomi menerima perubahan radikal.
“Industri tidak lagi boleh bergantung kepada buruh murah serta perlindungan kerajaan dan kita perlu menghapuskan monopoli GLC tertentu dan membiarkan mereka bersaing di pasaran serta mengelakkan penyelewengan sumber negara.”
Katanya, Belanjawan 2021 perlu melindungi rakyat, bukannya pekerjaan, firma atau industri yang tidak lagi berdaya saing.
Beliau meminta dedikasi sumber untuk firma dan industri “masa depan”, yang akan mewujudkan pekerjaan.