
Menurutnya, GLC serta badan berkanun terbabit akan dinilai Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (JPP-KKNS) untuk tindakan lanjut.
“Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengeluarkan arahan penutupan sekiranya GLC berkenaan tidak menunjukkan sebarang prospek untuk pulih,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan pada majlis penyampaian dividen dan sumbangan GLC serta badan berkanun di Menara Kinabalu, di sini.
Beliau berkata, setiap badan berkanun dan GLC bertanggungjawab mematuhi kadar pembayaran dividen minimum sedia ada, iaitu 10% daripada keuntungan selepas cukai.
“Ini ketetapan yang telah lama digariskan dan saya menjangkakan semua GLC menunjukkan disiplin kewangan serta komitmen penuh dalam memenuhi kewajipan ini.
“Selain itu, bermula tahun depan, saya juga mahu melihat peningkatan tahap sumbangan tahunan daripada GLC, sekitar RM2 juta hingga RM10 juta, bergantung kepada keupayaan dan prestasi syarikat.”
Bermula tahun depan juga, tegasnya, semua ketua pegawai eksekutif, pengurus besar kumpulan dan pengurus besar GLC serta badan berkanun wajib mengemukakan laporan prestasi bertulis suku tahunan terus kepadanya.
“Laporan tersebut mesti merangkumi kemajuan projek, status kewangan, pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) serta tahap kecekapan operasi.
“Mana-mana pihak yang gagal mengemukakan laporan, tidak mencapai KPI atau menunjukkan prestasi tidak memuaskan akan disemak kedudukannya, termasuk kemungkinan diganti atau ditamatkan perkhidmatan.”
Berdasarkan laporan semasa, katanya, prestasi keseluruhan GLC masih di tahap sederhana, dengan jumlah dividen dan sumbangan dibayar kepada kerajaan negeri berjumlah RM125.3 juta berbanding jumlah tertinggi RM156.31 juta yang direkodkan pada 2022.
“Walaupun angka ini menunjukkan sumbangan masih positif, saya percaya potensi sebenar agensi milik kerajaan jauh lebih besar daripada apa yang dicapai setakat ini.
“Untuk maju ke depan, kita mahu meningkatkan prestasi GLC selaras matlamat Sabah Maju Jaya 2.0. Objektif utama kita adalah menjadikan GLC pemangkin ekonomi yang cekap dan dipercayai menerusi pengurusan berwibawa bagi menjana pendapatan dan nilai lebih tinggi untuk rakyat dan negeri.”
Pada majlis itu, Hajiji menerima replika cek daripada pelbagai GLC dan badan berkanun negeri berjumlah RM131.6 juta, dengan SMJ Energy Sdn Bhd pembayar dividen terbesar bernilai RM50 juta dan RM1 juta disumbang kepada Jawatankuasa Bencana Alam Negeri.