Banjir: 5 PPS dibuka di Selangor

Banjir: 5 PPS dibuka di Selangor

Pembukaan PPS berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air Sungai Langat dan Sungai Semenyih melimpah ke kawasan berpenduduk.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata, lebih banyak PPS akan dibuka sekiranya jumlah mangsa banjir bertambah bagi mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat yang dikuatkuasakan ketika ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seramai 362 mangsa banjir daripada 87 keluarga di Sepang dan Hulu Langat, Selangor ditempatkan di 5 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka lewat petang dan malam semalam.

Pegawai operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkat, pembukaan PPS berkenaan berikutan hujan lebat berterusan selama beberapa jam di kedua-dua daerah itu menyebabkan paras air Sungai Langat dan Sungai Semenyih meningkat hingga melimpah ke kawasan berpenduduk.

Beliau berkata, 2 PPS dibuka di Hulu Langat, iaitu Kompleks Penghulu Baru 10 Cheras dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai, manakala 3 lagi di Sepang, iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil.

“Seramai 161 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di PPS SK Sungai Serai, manakala 55 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke Kompleks Penghulu Baru 10 Cheras.

“SRA Dengkil pula menempatkan 24 mangsa daripada 6 keluarga, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang 55 mangsa daripada 14 keluarga dan 67 lagi mangsa daripada 16 keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Izzat Haziq berkata, UPBN Selangor akan membuka lebih banyak PPS sekiranya jumlah mangsa bertambah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.