
Dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021, Ahmad Maslan (BN-Pontian) turut mencadangkan moratorium 6 bulan itu dilanjutkan lagi antara 3 hingga 6 bulan secara automatik untuk mereka yang mempunyai pinjaman RM500,000 dan ke bawah jika wabak Covid-19 belum dibendung.
“Dengan itu, pinjaman berjumlah besar dan banyak oleh T20, dan syarikat besar dengan tersendiri terkecuali kerana keupayaan mereka dan pada masa sama kita boleh terus membantu rakyat yang memerlukan. Angka RM500,000 itu boleh diubah mengikut yang lebih sesuai berdasarkan jumlah paling ramai rakyat yang boleh dibantu,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan inisiatif pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun 1 secara bersasar, dipendekkan tempohnya daripada 12 bulan iaitu RM500 sebulan kepada RM1,500 sebulan selama 4 bulan menjadikan jumlahnya tetap RM6,000.
Turut senada perihal pelanjutan moratorium ialah Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang mencadangkan kerajaan perlu membantu kelompok peniaga sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak itu.
“Moratorium kita setuju supaya dilanjutkan pada Jun akan datang kerana mereka menghadapi masalah yang begitu besar. Begitu juga syarikat perusahaan kecil dan sederhana, mereka tak mampu bayar gaji pekerja. (Jadi) Kerajaan harus memberi bantuan kepada pekerja itu sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan untuk terus hidup sehingga selesai masalah pandemik (Covid-19),” katanya ketika berbahas.
Mohamad turut menegaskan peruntukan RM85.5 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), sepatutnya disalur untuk membela nasib rakyat.
Beliau dan Lim Guan Eng (PH-Bagan) menegaskan peruntukan yang diterima Jasa menerusi Belanjawan 2021, harus ditolak.
Seramai 7 ahli Parlimen mengambil bahagian pada hari ke-2 perbahasan Belanjawan 2021.
Sesi perbahasan hari ini dimulakan oleh Najib Razak (BN-Pekan) yang diberi masa 90 minit sebagai wakil blok kerajaan, diikuti Lim, Azizah Mohd Dun (PPBM-Beaufort), Mohamad, Ahmad, M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) dan Wilson Ugak Kumbong (GPS-Hulu Rajang).
Persidangan bersambung esok.