
Beliau berkata, Malaysia perlu mencontohi Jepun yang memperuntukkan AS$250 bilion (lebih RM1.2 trilion) untuk pinjaman tersebut kepada semua kategori perniagaan.
“Saranan saya supaya adanya 1 bajet disediakan sama ada bawah Belanjawan 2021 atau Bank Negara Malaysia.
“Sebuah bajet berupa geran dengan jumlah maksimum RM30,000 sebagai modal pemula untuk peniaga kecil juga patut disediakan kepada penganggur atau pekerja yang kehilangan kerja akibat wabak Covid-19, yang mahu memulakan perniagaan,” katanya kata dalam kenyataan hari ini.
Armin menggesa kerajaan bertindak pro aktif dan agresif dalam meminda Belanjawan 2021 atau mengumumkan insentif tambahan seperti dicadangkan.
“Kementerian Kewangan tidak boleh terus menerus menghabiskan masa mempertahankan isi kandungan belanjawan yang ternyata gagal menyokong pemulihan pasaran dan ekonomi domestik,” katanya.
Armin, yang juga bekas pengerusi dan presiden Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (PEDA), turut mempersoalkan keberkesanan inisiatif bawah rancangan pemulihan ekonomi Penjana kepada syarikat PKS.
Merujuk kepada laporan media, 32,000 syarikat PKS gulung tikar sejak pandemik melanda, Armin berkata jumlah itu tidak termasuk syarikat yang tidak lagi beroperasi tetapi masih berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, angka itu juga tidak mengambil kira syarikat yang mengalami kerugian teruk tetapi tidak dapat menutup perniagaan kerana masih berhutang dengan bank dan pembekal.
“Menurut Presiden Persatuan PKS Malaysia (SME Association of Malaysia) Michael Kang, jumlah syarikat yang gulung tikar dan tidak beroperasi sejak pandemik Covid-19 menjangkau lebih 100,000 syarikat.
“Jadi apakah keberkesanan sebenar insentif Penjana kepada syarikat PKS?” soal Armin.
Minggu lalu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mempertikaian laporan mendakwa lebih 30,000 PKS ditutup sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan Mac lalu.
Katanya, statistik mengenai penutupan operasi dari Mac hingga September lalu bukan hanya merujuk PKS, tetapi semua syarikat yang berdaftar dengan SSM.
Beliau berkata, data SSM turut menyatakan 82,555 perniagaan baru didaftarkan pada 1 April hingga 19 Julai lalu, menunjukkan situasi Covid-19 tidak menghalang penubuhan perniagaan baru.