
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dikuatkuasakan selama 14 hari bermula 20 November hingga 3 Disember susulan peningkatan kes Covid-19.
PKPD melibatkan 2,288 penduduk daripada 572 rumah.
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C, Ipoh, selama 14 hari bermula 20 November hingga 3 Dis 2020.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pengesanan kes aktif dapat dilakukan dengan berkesan dan menyeluruh oleh KKM,” katanya pada sidang media hari ini.
PKPD di Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon
Sementara itu, Ismail turut mengumumkan PKPD di 2 lokaliti melibatkan Kota Belut, Sabah, juga bermula 20 November hingga 3 Disember susulan peningkatan jangkitan Covid-19.
Katanya, ia melibatkan Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon iaitu seramai 1,740 penduduk.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang dilanjutkan 14 hari lagi hingga 2 Disember kerana masih terdapat jangkitan Covid-19.
Lanjutan PKPD turut membabitkan Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan 14 hari lagi bermula 20 November hingga 3 Disember.
Dalam sidang media sama Ismail turut memaklumkan polis menahan 315 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP.
“Daripada jumlah itu, seramai 310 individu dikompaun manakala 3 direman dan 2 dijamin,” katanya.