
Dalam kenyataan hari ini, PNBBC memaklumkan keputusan itu dibuat secara kolektif semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dengan mengetepikan segala perbezaan, demi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi.
“Keutamaan kami adalah menghadapi krisis pandemik Covid-19 demi kesejahteraan rakyat. Kami juga akan memberi komitmen, sokongan dan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri,” menurut kenyataan itu.
PNBBC terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PPBM, PAS, STAR, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan bebas.
Nasib Rang Undang-undang Perbekalan 2021 sama ada akan diluluskan atau tidak, akan diketahui esok selepas sembilan baki menteri selesai membuat penggulungan bagi kementerian masing-masing.
Belanjawan 2021 merupakan belanjawan pertama kerajaan PN bawah pimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas mengambil alih kerajaan pusat Mac lepas, dengan RM322.5 bilion diperuntukkan bawah belanjawan berkenaan untuk perbelanjaan negara tahun hadapan.
Sementara itu, beberapa gabungan NGO Melayu dan Islam hari ini menyerahkan memorandum kepada wakil ahli Dewan Rakyat menuntut mereka menyokong dan seterusnya meluluskan pembentangan Belanjawan 2021.
Antara gabungan NGO itu adalah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Majlis Perundingan Melayu (MPM), Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM).
Pengerusi Biro Politik MPM Shahbudin Embun berkata, memorandum itu juga dibuat selaras titah Yang di-Pertuan Agong yang menasihati ahli Dewan Rakyat memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat Covid-19.
“Kami mewakili lebih 1,000 NGO Islam dan Melayu sepakat menuntut kepada seluruh ahli Dewan Rakyat sama ada pembangkang atau kerajaan memberi sokongan penuh serta meluluskan Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Shahbudin berkata, memorandum itu diserahkan kepada Ketua Whip PKR, Johari Abdul dan Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan PN, Mohd Fasiah Mohd Fakeh pada 10.45 pagi tadi.