
Dalam temu bual dengan The Star semalam, Azmin mendakwa pembentukan PN adalah cetusan idea Mahathir bertujuan untuk memastikan beliau kekal sebagai perdana menteri dengan sokongan Ahli Parlimen semua parti.
“Idea Perikatan Nasional tidak lain hanyalah ‘idea nakal’ yang dirancang oleh Azmin dan Muhyiddin Yassin,” kata Ulya dalam kenyataan hari ini.
Ulya berkata, Azmin memberikan maklumat bahawa terdapat plot untuk menggulimgkan Mahathir beberapa hari sebelum mesyuarat akhir Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Azmin beritahu akan tinggalkan mesyuarat itu jika berlaku apa-apa bagi sebagai rasa tidak puas hati.
“Bagaimanapun, PH bersetuju untuk memberikan sokongan penuh kepada Mahathir dan membincangkan rancangan untuk peralihan yang sewajarnya.”
Bekas ahli Majlis Tertinggi PPBM itu berkata, Mahathir memberi isyarat bahawa dakwaan Azmin itu adalah salah ketika mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM, dengan menyebut bahawa tidak masuk akal parti itu meninggalkan PH ketika gabungan tersebut berada di belakang perdana menteri.
Ulya mendakwa Muhyiddin masih berusaha untuk “meneruskan agendanya” dan meyakinkan Mahathir bahawa beliau masih akan mengetuai PN – gerakan yang ditentang oleh Ahli Parlimen seperti Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq Abdul Rahman.
“Tun (Mahathir) juga dengan jelas menyatakan bahawa beliau tidak mahu memungkiri janjinya dan tidak dapat menerima menjadi perdana menteri yang disokong oleh kleptokrat,” katanya merujuk kepada rentetan peristiwa pada Feb lepas yang membawa kepada peletakan jawatan perdana menteri dan tumbangnya kerajaan PH.
“Malangnya, Muhyiddin disokong oleh banyak orang yang ingin meninggalkan PH, termasuk pengkhianat dari ‘Muhajirins’ (bekas pemimpin Umno yang menyertai PPBM).
“Mesyuarat berakhir dengan anggota bersetuju untuk tidak meninggalkan PH dan menyerahkan keputusan kepada Tun,” katanya sambil menambah Mahathir kemudian memberitahu Muhyiddin yang merupakan presiden PPBM supaya membatalkan sebarang rancangan pertemuan dengan istana, berunding dengan “puak Azmin”, Umno dan PAS, yang dirancang tanpa persetujuan.