
Lima warga China dan seorang warga tempatan ditangkap dalam serbuan bulan lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed, berkata Chen De Wei, yang didakwa dalang sindiket, juga dikehendaki pihak berkuasa China atas kesalahan sama.
“Chen ditangkap dalam serbuan di Mont Kiara. Beliau dipercayai membawa masuk orang dan buka pusat perjudian dalam talian di sini.
“Mereka (Chen dan enam yang lain) sedang menjalani penahanan 38 hari mengikut Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah (Poca). Kami akan tentukan tindakan lanjut terhadap mereka selepas penahanan tamat pada 8 Jan,” katanya.
Huzir juga berkata, ahli perniagaan Zaidi Kanapiah dan Goh Leong Yeong, bersama dua pegawai polis, dikenakan perintah penahanan dua tahun oleh Lembaga Pencegahan Jenayah.
“Mereka sedang menjalani perintah itu di pusat tahanan di Simpang Renggam, Pokok Sena, dan Bentong,” katanya.
Empat lelaki itu memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi dalam cubaan untuk membebaskan diri tetapi mahkamah menolak permohonan mereka.
Beliau berkata polis menahan 130 individu atas dakwaan terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian.
Dalam perkembangan lain, Huzir berkata polis meminta bantuan kerajaan Thailand untuk membawa tiga warga thai ke negara ini atas kejadian menembak anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).
Sebanyak 22 individu, termasuk 21 warga Thai, ditahan dan direman.
Minggu lepas, anggota PGA Baharuddin Ramli ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600m dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.
Rakannya, Norihan Tari, tercedera.