Pengarah agensi penguat kuasa, pengarah syarikat direman kes skandal minyak

Pengarah agensi penguat kuasa, pengarah syarikat direman kes skandal minyak

Pengarah agensi penguat kuasa itu direman empat hari bermula hari ini hingga 18 Dis, manakala pengarah syarikat direman lima hari hingga 19 Dis bagi membantu siasatan.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua lelaki berusia antara 50 dan 60 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya antara 9 hingga 12 malam, semalam selepas hadir memberikan keterangan.
PUTRAJAYA:
Dua individu termasuk seorang pengarah agensi penguat kuasa direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan kes skandal rasuah berhubung kelulusan dan pengecualian khas kepada beberapa syarikat untuk membawa minyak gred berat di perairan negara.

Pengarah agensi penguat kuasa itu direman empat hari bermula hari ini hingga 18 Dis, manakala seorang pengarah syarikat direman lima hari hingga 19 Dis bagi membantu siasatan.

Perintah itu dikeluarkan majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua lelaki berusia antara 50 dan 60 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya antara 9 hingga 12 malam, semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Katanya, antara 2019 hingga 2020, pengarah agensi kerajaan tersebut disyaki menerima suapan secara bulanan daripada pengurus syarikat perkapalan sebagai balasan tidak menjalankan pemeriksaan ke atas kapal yang menjalankan aktiviti pengisian minyak di perairan negara.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, seorang timbalan ketua pengarah bergelar “Datuk” direman Jumaat lepas bagi kes sama, disambung reman tiga hari hingga 18 Dis ini.

Manakala, empat suspek termasuk setiausaha bahagian sebuah jabatan kerajaan dan pengarah syarikat bergelar “Datuk Seri” yang direman sebelum ini pada tarikh sama, dilepaskan dengan jaminan antara RM9,000 hingga RM15,000.

Mereka antara lima individu yang direman Jumaat lepas bagi kes sama yang direman lima hari bermula 11 Dis hingga 15 Dis.

SPRM berkata, berdasarkan siasatan kedua-dua pegawai kanan kerajaan itu dipercayai menyalahguna kedudukan dan kuasa mereka untuk mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat tertentu tanpa pengetahuan dan kelulusan menteri pengangkutan.

Katanya, perbuatan itu juga dilakukan tanpa pengetahuan ketua pengarah jabatan berkenaan yang sebelum ini mengeluarkan surat arahan larangan penggunaan Single Hull, Double Bottom (struktur kapal) dalam mengangkut minyak gred berat di perairan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.