
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster dikesan di Kedah, Perak, Selangor, Johor, Pahang, dan KL.
Memperincikan kluster di Johor, Hisham berkata, Kluster Tembok Choh melibatkan daerah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kulai, dan Mersing.
“Kes bagi kluster ini dilaporkan positif bermula 24 Dis melalui saringan bersasar di sebuah pusat tahanan dan sehingga hari ini seramai 382 didapati positif daripada 1,020 individu yang disaring,” katanya dalam kenyataan.
Mengenai kluster di Selangor, beliau berkata, ia membabitkan sebuah tapak bina di daerah Hulu Langat.
“Kes bagi kluster ini dilaporkan positif pada 27 Dis melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan dengan 64 kes positif direkodkan setakat ini.”
Sementara bagi kluster di Kuala Lumpur, sebanyak tiga kluster dikesan iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Stesen dan Kluster Slot Berjaya di Lembah Pantai manakala Kluster Jalan Nikolas di Titiwangsa.
“Sebanyak 54 kes positif dikesan dalam Kluster Tapak Bina Jalan Stesen, manakala Kluster Slot Berjaya yang melibatkan tempat kerja mengesan 9 kes positif dan Kluster Jalan Nikolas merekodkan enam kes positif,” katanya.

Mengulas lanjut, kluster seterusnya, Hisham berkata, Kluster Gerbang Pongsu melibatkan daerah Kerian dan Kinta di Perak.
“Kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif pada 24 Dis melalui saringan individu bergejala.
“Sehingga hari ini, sejumlah 53 individu disaring, yang mana lapan kes dikesan positif.”
Kluster Damai Ketari yang dikesan di Bentong, Pahang melaporkan 21 kes positif manakala Kluster Alor yang melibatkan daerah Kota Setar, Kedah dan daerah Titiwangsa serta Cheras, Kuala Lumpur merekodkan 20 kes positif.
Sehingga hari ini, sebanyak 506 kluster dilaporkan termasuk lapan kluster baru pada hari ini.
Jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 283 kluster termasuk lima kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Sungai Mulia, Kluster Assumption, Kluster Blok 31, Kluster Tanjung Bunga, dan Kluster Jeri.
Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 223 kluster dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 53 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tembok Choh (374 kes), Kluster Tampoi Jaya (138 kes), dan Kluster Beringin (61 kes).