Ahli farmasi AS ditahan sabotaj vaksin COVID-19

Ahli farmasi AS ditahan sabotaj vaksin COVID-19

Kakitangan Pusat Perubatan Aurora di Grafton, Wisconsin itu dipecat selepas didapati membiarkan 57 botol vaksin di luar peti sejuk awal minggu ini.

Pihak berkuasa tidak menyatakan motif ahli farmasi terbabit mensabotaj vaksin COVID-19 itu.
LOS ANGELES:
Seorang ahli farmasi di sebuah hospital Amerika Syarikat ditahan pada Khamis kerana disyaki sengaja mensabotaj lebih 500 dos vaksin COVID-19 dengan mengeluarkannya dari peti sejuk untuk merosakkannya, kata polis dan pihak berkuasa perubatan.

Ahli farmasi itu yang merupakan kakitangan Pusat Perubatan Aurora di Grafton, Wisconsin, dipecat selepas didapati membiarkan 57 botol vaksin di luar peti sejuk awal minggu ini, namun identitinya tidak didedahkan.

Setiap botol vaksin itu mengandungi 10 dos. Hampir 60 dos diperiksa sebelum pihak hospital mengesahkan ia tidak disejukkan cukup lama sehingga menyebabkan vaksin itu tidak berkesan. Baki lebih 500 dos turut dibuang kemudian.

Moderna Inc, pengeluar vaksin itu, memberi jaminan kepada hospital yang suntikan vaksin tidak disejukkan tidak akan mendatangkan sebarang isu keselamatan, kecuali menyebabkan penerima tidak dilindungi daripada jangkitan COVID-19, kata Dr Jeff Bahr, presiden Kumpulan Perubatan Penjagaan Kesihatan Aurora.

Pihak berkuasa tidak menyatakan motif ahli farmasi terbabit mensabotaj vaksin itu.

Individu yang menerima dos vaksin tidak berkesan itu sudah dimaklumkan dan akan disuntik semula.

Bahr berkata, tiada bukti menunjukkan ahli farmasi itu merosakkan vaksin berkenaan dengan cara lain, selain mengeluarkannya dari peti sejuk, atau dos lain turut dirosakkan.

Polis Grafton dalam kenyataan berkata, ahli farmasi itu “tahu vaksin yang rosak tidak berguna dan mereka yang menerima vaksin akan fikir dilindungi daripada virus, sedangkan ia sebaliknya”.

Kejadian itu berlaku ketika tinjauan pendapat menunjukkan orang ramai meragui keselamatan vaksin COVID-19 yang diluluskan secara tergesa-gesa oleh pihak berkuasa persekutuan hanya selepas 11 bulan virus itu muncul di AS.

Malah, sesetengah kakitangan penjagaan kesihatan menyuarakan keengganan mengambil vaksin itu.

Pegawai hospital berkata, ketika soal siasat peringkat awal selepas botol vaksin itu ditemui pada 26 Dis lalu, ahli farmasi terbabit berkata, ia kesilapan tidak disengajakan, tetapi ketika siasatan lanjut, dia mengakui sengaja mengeluarkan vaksin dari peti sejuk.

Polis berkata, suspek yang tinggal di Grafton, pinggir bandar Milwaukee, itu ditahan pada Khamis dan direman di Penjara Daerah Ozaukee atas tuduhan feloni membahayakan keselamatan secara cuai, merosakkan ubat preskripsi dan harta benda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.