Helikopter terhempas ketika latihan penerbangan, kata polis

Helikopter terhempas ketika latihan penerbangan, kata polis

Polis berkata, juruterbang helikopter hilang kawalan ketika cuba membuat latihan 'hoovering' di sebuah kawasan lapang dekat PKFZ dan terhempas pada ketinggian kira-kira 4m.

Helikopter jenis Robinson R66 ini terbalik dan bahagian ekornya tercabut sebelum tercampak kira-kira 20m daripada badan helikopter berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Helikopter ringan yang terhempas ketika cuba melakukan pendaratan di sebuah kawasan lapang dekat Pelabuhan Klang pagi tadi, dipercayai sedang membuat latihan penerbangan, kata Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Shamsul Amar Ramli.

Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, juruterbang helikopter itu hilang kawalan ketika cuba membuat latihan “hoovering” di sebuah kawasan lapang berhampiran Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah dan terhempas pada ketinggian kira-kira 4m.

“Susulan itu, helikopter berkenaan terbalik dan bahagian ekornya tercabut dan tercampak kira-kira 20m daripada badan helikopter berkenaan.

“Mangsa, juruterbang dan penumpang masing-masing berusia 73 dan 53 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melancarkan siasatan ke atas nahas itu yang menyebabkan dua individu cedera.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Chester Voo menerusi kenyataan mengesahkan sebuah helikopter jenis Robinson R66 terhempas dekat Pulau Indah, Pelabuhan Klang, antara 9.45 pagi hingga 10 pagi tadi.

“Helikopter yang dikendalikan My Heli Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 9.05 pagi dan berada di ruang udara Pulau Indah pada 9.21 pagi.

“Juruterbang melaporkan ops normal pada 9.45 pagi dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur tidak menerima sebarang panggilan kecemasan selepas itu.”

Bagaimanapun, katanya, sejurus menerima maklumat mengenai nahas itu, CAAM segera mengaktifkan Pusat Koordinasi Penyelamat Aeronautikal.

Juruterbang itu dikenal pasti sebagai Shamsul Kamal Ahmad yang cedera di tangan kanannya, manakala pembantunya dikenal pasti sebagai Anas Ahmad Zubaidi yang mengalami kecederaan ringan.

Voo berkata, siasatan lanjut akan dilakukan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan
mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.

Satu nahas helikopter yang berlaku pada November lalu turut membabitkan ahli My Heli Club.

Dalam kejadian 8 Nov lalu itu, dua maut dan dua lagi cedera, selepas dua helikopter yang sedang melakukan latihan penerbangan bertembung di udara sebelum terhempas di Taman Melawati.

Juruterbang dalam salah sebuah helikopter itu, bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia, Mohamed Sabri Baharom, 56, dan penumpangnya yang juga ahli perniagaan, Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, maut dalam nahas itu.

Bekas ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan penumpangnya, Tan Chai Eian, 51, cedera ringan.

Semua empat individu itu ialah ahli My Heli Club.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.