Jalan Kuantan-Segamat di Pekan ditutup akibat tanah runtuh

Jalan Kuantan-Segamat di Pekan ditutup akibat tanah runtuh

Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan semasa runtuhan berlaku.

Tanah runtuh yang berlaku di KM63 dan 73 Jalan Kuantan-Segamat di Pekan pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Jalan Kuantan-Segamat di Pekan, dekat sini ditutup buat sementara kepada semua kenderaan bermula hari ini, berikutan kejadian tanah runtuh di KM63 dan 73 jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Mohd Razli Mohd Yusof berkata, runtuhan itu berlaku kira-kira 10 pagi, dipercayai akibat hujan lebat selama beberapa jam dan air bukit yang turun dengan deras di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan atau kecederaan yang dilaporkan semasa runtuhan berlaku. Untuk keselamatan pengguna jalan raya, jalan tersebut ditutup bagi kerja baik pulih,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sepanjang penutupan jalan itu, pengguna jalan raya dari Kuantan yang ingin ke Segamat boleh menggunakan laluan alternatif dari Pekan ke Paloh Hinai untuk ke Leban Chondong dan Muadzam Shah di Rompin.

Sementara pengguna jalan raya dari Segamat ke Kuantan pula dilencongkan ke Leban Chondong, sebelum masuk ke Pekan melalui Jalan Nenasi-Pekan-Kuantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.