Penjenayah diburu mati disyaki ditetak, tangan hampir putus

Penjenayah diburu mati disyaki ditetak, tangan hampir putus

Semakan polis mendapati si mati mempunyai 12 rekod lampau pelbagai jenayah, termasuk bunuh dan diburu polis bagi membantu siasatan kes tetak pada November lalu.

Mayat lelaki berusia 34 tahun yang ditemui orang awam kira-kira 30m dari sebuah bangsal, dimasukkan ke trak polis.
IPOH:
Seorang lelaki yang dipercayai penjenayah dikehendaki polis ditemui mati, disyaki akibat ditetak dalam pertengkaran dengan sekumpulan individu berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, A Asmadi Abdul Aziz berkata, mayat lelaki berusia 34 tahun itu ditemui orang awam pada 11.30 pagi tadi, kira-kira 30m dari sebuah bangsal dipercayai menjadi lokasi menghisap dadah.

“Siasatan awal polis mendapati lelaki itu ke bangsal berkenaan kira-kira 7.30 malam semalam untuk bersemuka dengan kumpulan terbabit kerana tidak berpuas hati adiknya ditahan polis, susulan satu kes tetak November lalu.

“Dipercayai berlaku pertengkaran dan lelaki itu cuba melarikan diri, namun terjatuh sebelum mayatnya ditemui pagi tadi dengan kesan tetakan pada bahagian belakang badan dan pergelangan tangan hampir putus,” katanya di lokasi kejadian.

Beliau berkata, polis menemui sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Asmadi berkata, semakan polis mendapati si mati mempunyai 12 rekod lampau pelbagai jenayah, termasuk bunuh dan diburu polis bagi membantu siasatan kes tetak pada November lalu.

“Polis akan melancarkan operasi bagi mengesan semua suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.