Keputusan KP imigresen kenakan larangan perjalanan ke atas Maria Chin tak sah, kata mahkamah

Keputusan KP imigresen kenakan larangan perjalanan ke atas Maria Chin tak sah, kata mahkamah

Minoriti hakim, yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Nallini Pathamanathan dan Harmindar Singh Dhaliwal, berpendirian Seksyen 59 dan 59A Akta Imigresen tidak mengikut perlembagaan.

Maria Chin diberitahu mengenai larangan perjalanannya sebelum menaiki penerbangan ke Korea Selatan pada 15 Mei 2016 di KLIA.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan ketua pengarah imigresen salah apabila mengenakan larangan perjalanan ke atas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, dengan alasan dia mengkritik kerajaan.

Majoriti empat hakim terbabit, Rohana Yusuf, Abdul Rahman Sebli, Hasnah Mohammed Hashim, dan Mary Lim Thiam Suan turut memutuskan Seksyen 59 dan 59A Akta Imigresen adalah sah.

Mereka juga berpendapat prinsip undang-undang yang ditetapkan dalam dua keputusan mahkamah sebelumnya – Kerajaan Malaysia & Ors v Loh Wai Kong dan Pihak Berkuasa Negeri Sabah v Sugumar Balakrishnan – mengenai hal berkaitan imigrasi adalah contoh yang baik untuk dipatuhi.

Minoriti, yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Nallini Pathamanathan dan Harmindar Singh Dhaliwal, berpendirian kedua-dua seksyen itu tidak mengikut perlembagaan.

Mereka turut memutuskan kedua penghakiman itu bukan lagi pengumuman yang baik kerana bentuk undang-undang yang sempit digunakan untuk mendapatkan keputusan.

Seksyen 59 memberikan menteri dalam negeri dan ketua pengarah imigresen hak untuk tidak memberikan alasan ke atas tindakan mereka, kecuali berkaitan ketidakpatuhan prosedur.

Fasal dalam Seksyen 59A Akta Imigresen menghalang warganegara yang terjejas haknya untuk mendapat semakan kehakiman.

Rahman, yang menyampaikan keputusan majoriti, mengatakan Seksyen 59A adalah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen.

Katanya, undang-undang persekutuan juga menentukan bidang kuasa dan kuasa Mahkamah Tinggi dalam hal imigresen dan hanya untuk membuat keputusan mengenai ketidakpatuhan prosedur pembuat keputusan.

“Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa di luar batas kekuasaan itu,” katanya, sambil menambah Seksyen 59A menyatakan dengan jelas tentang niat Parlimen untuk mengecualikan semakan kehakiman ke atas keputusan menteri, ketua pengarah imigresen, dan pihak berkuasa Sabah dan Sarawak.

Dia juga mengatakan Seksyen 59 dan 59A tidak sesuai dengan Perkara 4(1) dan 121 Perlembagaan.

Namun, berdasarkan fakta dan keadaan kes Maria yang pelik, Rahman mengatakan alasan yang diberikan oleh ketua pengarah tidak sesuai.

“Walaupun ketua pengarah memiliki kuasa budi bicara untuk mengenakan larangan perjalanan, pertimbangan itu tidak terbatas,” katanya.

Tengku Maimun berkata, walaupun pihak minoriti berpandangan Seksyen 59A sebagai tidak mengikut perlembagaan, itu tidak bermaksud badan kehakiman adalah tertinggi.

“Sebagai penjaga perlembagaan, badan kehakiman juga harus mematuhi doktrin pemisahan kuasa,” katanya.

Menurutnya, perkara 3 dalam suatu pekeliling membenarkan ketua pengarah mengenakan larangan perjalanan tetapi dalam kes Maria, dia tidak menunjukkan sebab kenapa ia perlu dilakukan.

“Sebaliknya, apa yang mereka lakukan adalah ‘menyenarai hitam’ (Maria) untuk menyekat perjalanannya walaupun beliau mempunyai pasport yang sah,” katanya.

Tengku Maimun mengatakan setelah meneliti pekeliling itu, beliau tidak menemui sebarang dokumen yang menunjukkan ketua pengarah mempunyai kuasa untuk “menyenarai hitam” seseorang yang memegang pasport yang sah.

Jelasnya, Mahkamah Tinggi sebelum ini secara sempit membaca Perkara 5(1) mengenai kebebasan peribadi untuk menafikan hak melakukan perjalanan.

Katanya, Maria turut dinafikan hak untuk memberi penjelasan selepas ketua pengarah imigresen enggan memberikan alasan ke atas larangan perjalanan.

Maria mendakwa diberitahu mengenai larangan perjalanannya hanya sebelum menaiki penerbangan ke Korea Selatan pada 15 Mei 2016 di KLIA.

Bagaimanapun, larangan perjalanan itu digugurkan dua hari kemudian. Dia kemudian memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan melarangnya keluar negara.

Kesnya tewas di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.