Tolak pendaftaran Pejuang sebahagian ‘tradisi Malaysia’, kata penganalisis

Tolak pendaftaran Pejuang sebahagian ‘tradisi Malaysia’, kata penganalisis

James Chin berkata, ‘tradisi Malaysia’ ialah menjadikan sesuatu perkara itu sukar buat pembangkang.

Presiden protem Pejuang Mukhriz Mahathir menunjukkan permohonan pendaftaran parti itu bulan lepas. Permohonan pendaftaran parti itu ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan.
PETALING JAYA:
Penolakan pendaftaran Pejuang dan Muda sebagai parti politik adalah sebahagian daripada “tradisi Malaysia” dengan kerajaan bertindak menyukarkan pesaingnya, kata seorang penganalisis politik.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, menjadi kebiasaan kerajaan menyukarkan pembangkang dengan beberapa rintangan sebelum parti politik baharu didaftarkan.

“Ia (Putrajaya) buat sekatan jalan terhadap parti pembangkang. PPBM juga mengalami kelewatan berhubung pendaftarannya sebelum ini.

“Mereka terpaksa mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan sebelum didaftarkan,” katanya.

James Chin.

Chin menjangka kedua-dua parti, iaitu Pejuang dan Muda, hanya akan diluluskan pendaftaran apabila mereka memfailkan saman. Ini kerana alasan kerajaan menolak pendaftaran parti itu tidak bertahan di mahkamah.

Semalam, peguam mewakili Pejuang, parti yang diasaskan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menolak pendaftaran parti berkenaan.

Jabatan sama turut menolak permohonan Muda, parti yang diasaskan bekas ketua Pemuda PPBM dan bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Chin berkata, wujud kemungkinan JPPM menolak permohonan pendaftaran kedua-dua parti itu kerana tidak mahu dianggap bersikap dwistandard.

Oh Ei Sun.

Seorang lagi penganalisis Oh Ei Sun berkata, tindakan Putrajaya menafikan pendaftaran Pejuang dan Muda merupakan langkah waspada, walaupun parti berkenaan tidak mungkin mendapat banyak sokongan daripada majoriti orang Melayu konservatif, yang dilihat memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan negara.

“Mahathir dan Syed Saddiq tidak dapat menarik pengundi ini secara kebendaan kerana mereka tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan.

Mereka juga tidak mampu bersaing dengan tarikan semangat kebangsaan dan agama yang dimainkan Umno dan PAS.

“Namun pada masa ini, anda mungkin tidak boleh mengambil sebarang risiko politik, jadi lebih baik mereka disingkir lebih awal,” katanya yang juga felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Bridget Welsh.

Bagaimanapun, Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia berkata, penolakan pendaftaran Pejuang dan Muda memberi petanda bahawa Putrajaya yang ditadbir Perikatan Nasional merasai ia tidak selamat.

“Kerajaan menyedari jika pengundi Melayu semakin berpecah, maka akan semakin kurang sokongan kepada mereka,” katanya.

Katanya, kebimbangan utama PPBM ialah sokongan pengundi muda, dengan Syed Saddiq dilihat mempunyai pengaruh lebih kuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.