
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt Ramsay Anak Embol berkata kanak-kanak perempuan tempatan berumur 9 tahun itu ditemui orang awam di sekitar Taipan Setia Alam di sini sekitar 4 petang semalam dan telah diserahkan kepada ibu bapanya sekitar 6.45 petang, hari sama.
“Kanak-kanak perempuan ini terlebih dahulu diserahkan kepada polis bantuan sekitar 6 petang, sebelum ibu bapanya datang ke Balai Polis Setia Alam bagi membawanya pulang.
“Ibu bapa mangsa juga akan membuat laporan polis berkaitan video yang tular tersebut dan akan diambil keterangan. Individu yang membuat rakaman juga bakal dipanggil bagi membantu siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramsay berkata hasil semakan pihaknya mendapati kanak-kanak berkenaan membawa beg pakaian dengan menaiki basikal.
Terdahulu, tular video kanak-kanak perempuan berkenaan yang ditemui berhampiran Setia Taipan Setia Alam, didakwa didera oleh ibu bapanya ketika cuba mencari rumah neneknya di Klang.