Kudat dilanda banjir, tanah runtuh

Kudat dilanda banjir, tanah runtuh

Dua kejadian itu berlaku akibat hujan lebat sejak semalam.

Dua kereta dan sebuah motosikal yang terjatuh dari kawasan tinggi akibat tanah runtuh di Jalan Masjid Kampung Ayer, Kudat malam tadi. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah)
KUDAT:
Tiga kampung terjejas dengan 56 orang daripada lapan keluarga terpaksa dipindahkan akibat banjir di Kudat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah ketika dihubungi berkata, semua mangsa dipindahkan kira-kira 9.30 pagi tadi, selepas kawasan rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat sejak semalam.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.12 pagi sebelum mengerahkan pasukan penyelamat ke lokasi untuk membantu.

“Semua mangsa dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Tun Mustapha di Kudat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah turut menerima panggilan kecemasan berhubung tanah runtuh di Jalan Masjid Kampung Ayer yang mengakibatkan dua kereta serta sebuah motosikal tertimbus.

Anggota bimba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) memindahkan mangsa banjir di Kudat pagi tadi. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah)

Katanya, semua kenderaan itu terjatuh dari kawasan tinggi susulan tanah runtuh di kawasan berkenaan.

“Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, runtuhan dipercayai berlaku susulan hujan lebat yang melanda daerah ini malam tadi.

“Tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian itu dan pihak bomba juga membuat pemeriksaan seterusnya bagi memastikan keadaan selamat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.