Shahidan bukan lagi AJK wanita dan kanak-kanak, bidas pengkritik diam soal kes ‘Mat Sabu, Anwar, Guan Eng’

Shahidan bukan lagi AJK wanita dan kanak-kanak, bidas pengkritik diam soal kes ‘Mat Sabu, Anwar, Guan Eng’

Ahli Parlimen Arau itu berkata mereka yang mempersoalkan keahliannya dalam jawatankuasa Parlimen mengenai hak wanita dan kanak-kanak berlaku tidak adil terhadapnya.

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, berkata beliau bukan lagi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial, namun berkata pihak yang membantah perlantikannya sebelum ini pilih kasih.

Shahidan berkata keahliannya dalam jawatakuasa itu hanya untuk sementara kerana penglibatannya dalam pelbagai jawatankuasa Parlimen sebelum ini. Tempatnya dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial, diambil alih oleh Ahli Parlimen Parit Nizar Zakaria.

Apa pun, beliau berkata aktivis dan pembangkang yang mengkritiknya sebelum ini mengenai keahliannya dalam jawatankuasa itu berlaku tidak adil terhadapnya.

Shahidan berkata ramai pemimpin pembangkang terpalit dengan pelbagai tuduhan dan dibawa ke mahkamah, namun aktivis dan pemimpin tertentu berdiam diri mengenai penglibatan mereka di pelbagai peringkat Parlimen dan semasa dalam kerajaan.

“Kalau hendak pertikai (saya), pertikai juga Mohamad Sabu (presiden Amanah) yang ada kes dahulu, Anwar Ibrahim (presiden PKR), yang juga ada kes dahulu, Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP) juga kes rasuah,” kata Shahidan kepada FMT.

Keahlian Shahidan dalam jawatankuasa itu dipertikaikan oleh beberapa pertubuhan wanita dan kanak-kanak, dan pemimpin pembangkang yang mengungkit kes mahkamah beliau atas tuduhan mencabul kehormatan gadis bawah umur pada 2018.

Bagaimanapun Mahkamah Sesyen Kangar memerintahkan Shahidan dilepaskan tanpa dibebas pada 2019 selepas pengadu kes enggan disoal dalam perbicaraan.

Shahidan berkata perlantikan beliau dalam jawatankuasa itu tidak harus dijadikan modal politik untuk mana-mana pihak menyerangnya dengan sewenang-wenang.

Beliau menganggap perlantikannya itu sebagai amanah membawa suara pengundi kawasannya untuk memperkasakan hak wanita dan kanak-kanak menerusi jawatankuasa itu.

“Rasanya, ini jawatankuasa Parlimen yang mana anggotanya adalah Ahli Parlimen, tidak kiralah lelaki atau perempuan dan bercakap mewakili kawasan mereka.

“(Ahli Parlimen) masing-masing ada kawasan, seperti di kawasan saya (Arau), wanita lebih ramai daripada pengundi lelaki saya,” kata Shahidan.

Shahidan menegaskan akan tetap menunaikan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen dan menolak kritikan ‘tidak adil’ kalangan aktivis dan pembangkang.

“Jawatankuasa Parlimen (ini)…hanya bertanggungjawab di Parlimen sahaja, bukan menjawab pada aktivis,” kata Shahidan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said, hari ini mendedahkan Ahli Parlimen pembangkang yang dipilih menganggotai jawatankuasa itu tidak membantah perlantikan Shahidan pada mesyuarat semalam.

Mesyuarat itu melantik Azalina sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Azalina berkata soal perlantikan ahli Jawatakuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial bukan di bawah bidang kuasanya dan enggan mengulas sama ada Shahidan wajar dilantik sebagai ahli.

Selain Shahidan, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Rubiah Wang (Kota Samarahan, GPS), Che Alias Hamid (Kemaman, PAS), Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Puteh, PAS), Alice Lau (Lanang, DAP), dan, Fuziah Salleh (Kuantan, PKR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.