
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan lapan kluster tempat kerja dan masing-masing satu kluster komuniti, keagamaan serta pusat tahanan.
Katanya, 350 kluster baru dilaporkan dari 6 Jan lalu sehingga semalam dengan 225 atau 64.3% daripadanya berkaitan tempat kerja.
Beliau berkata, daripada 225 kluster berkaitan tempat kerja itu, jumlah tertinggi ialah 80 kluster berkaitan perkilangan (35.6%), diikuti 53 kluster pembinaan (23.6%) dan 31 kluster berkaitan perkhidmatan (13.8%).
“Sejumlah 112,225 individu telah disaring, di mana 28,477 kes (25.4%) dikesan positif Covid-19 dalam kluster (berkaitan tempat kerja) ini,” katanya dalam kenyataan.
“KKM ingin menyeru semua majikan dan pekerja bersama memainkan peranan dalam membantu KKM dan negara membendung penularan Covid-19 di tempat kerja dengan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan.
“Majikan bertanggungjawab menyediakan tempat kediaman pekerja yang kondusif, di samping memastikan pekerja sentiasa mengamalkan langkah pencegahan Covid-19.”
Berikut butiran 11 kluster baru hari ini:
Kluster Jalan Timah Dua
Kluster tempat kerja ini melibatkan Johor Bahru di Johor. Kes positif dikesan hari ini menerusi saringan individu bergejala yang juga pekerja kilang di Pasir Gudang.
Hasil saringan ke atas 281 individu mendapati 34 kes positif.
Kluster Persiaran Tanjung
Kluster tempat kerja ini dikesan di Johor Bahru. Kes positif dilaporkan hari ini hasil saringan bersasar di tempat kerja membabitkan pekerja kilang di Kampung Tanjung Langsat.
Sebanyak 33 kes positif dilaporkan selepas 151 individu yang disaring.
Kluster Jalan Canggih
Lagi kluster tempat kerja di Johor Bahru, di mana kes indeks dilaporkan positif hari ini melalui saringan individu bergejala.
Nama kluster ini merujuk lokaliti tempat kerja kes indeks di Jalan Canggih, Ulu Tiram, Johor. Saringan ke atas 457 orang mendapati 22 kes positif.
Kluster Tapak Bina Bali Residence
Kluster tempat kerja ini melibatkan Melaka Tengah dan Alor Gajah di Melaka. Kes indeks dilaporkan positif 17 Jan lalu hasil saringan kemasukan ke wad.
Nama kluster ini merujuk tapak pembinaan di Kawasan Bandar V1, Melaka. Setakat ini, 204 kes positif dicatatkan selepas 403 individu disaring.
Kluster Tembok Sungai Udang
Kluster pusat tahanan di Melaka Tengah ini dikesan selepas kes indeks disahkan positif 15 Jan lalu hasil saringan individu bergejala.
Kluster ini membabitkan banduan dan kakitangan sebuah pusat tahanan di Sungai Udang, Melaka. Kini, 25 kes positif dilaporkan selepas 53 orang disaring.
Kluster kilang Setapak
Kluster tempat kerja ini membabitkan Titiwangsa di Kuala Lumpur. Kes positif dikesan hari ini menerusi saringan bersasar di tempat kerja melibatkan pekerja kilang di Setapak.
Seramai 30 daripada 48 individu yang disaring disahkan positif.
Kluster Tapak Bina Jalan Wangsa
Kluster tempat kerja ini dikesan di Titiwangsa, Kuala Lumpur. Kes positif dilaporkan hari ini menerusi saringan bersasar di tempat kerja membabitkan pekerja binaan di Wangsa Maju.
Sebanyak 45 kes positif dicatatkan selepas 289 orang disaring.
Kluster Tapak Bina Lebuh Puteri
Kluster tempat kerja ini dikesan di daerah Petaling, Selangor. Kes disahkan positif hari ini hasil saringan bersasar di tempat kerja membabitkan pekerja binaan di Bandar Puteri Puchong.
Sebanyak 19 kes positif dilaporkan hasil saringan ke atas 200 orang.
Kluster Kampung Bombalai
Kluster tempat kerja ini membabitkan di Tawau dan Kalabakan, Sabah. Kes indeks disahkan positif 16 Jan hasil saringan individu bergejala.
Sebanyak 16 kes positif dikesan selepas 59 orang disaring.
Kluster Kampung Guntong Luar
Kluster komuniti ini melibatkan Setiu dan Kuala Nerus di Terengganu. Kes dilaporkan positif 14 Jan lalu hasil saringan individu bergejala.
Nama kluster ini merujuk lokaliti tempat tinggal kes di Kampung Guntong Luar. Setakat ini, 65 orang disaring dan 13 kes positif dilaporkan.
Kluster Kampung Bukit Biah
Kluster keagamaan ini melibatkan daerah Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Besut dan Kemaman di Terengganu.
Kes positif dikesan 16 Jan lalu hasil saringan individu rentas negeri. Nama kluster ini merujuk lokaliti tempat tinggal kes di Kampung Bukit Biah.
Setakat ini, 39 kes positif dikesan daripada 131 individu yang disaring.