
Misi bantuan ini terdiri daripada 1,000 set makanan, 100 kerusi roda dan 75,000 keping pelitup muka untuk keperluan penduduk Sabah, serta 200 tablet bagi memudahkan pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Doakan ya. Misi bantuan ke Sabah,” tulisnya di Facebook.
Lew mengucapkan terima kasih kepada My Jet Xpress dan Zen Aviation yang menaja pesawat untuk menghantar barangan itu.
Katanya, beliau akan terbang ke Sabah pada Khamis ini untuk menghantar bantuan itu kepada penduduk memerlukan.
“Semoga Allah tambah rezeki buat MyJet. Terima kasih KLIA Kargo Airport yang beri ‘free caj’. Baik sangat semua.
“Terima kasih tak terhingga juga Malaysia Airlines beri ‘special rate’ buat ‘team’ kami. Semoga menjadi asbab kebaikan.”
Pada 30 Okt 2020, Lew menghantar peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan barang keperluan lain untuk petugas hospital serta klinik di Sabah.
Khamis lalu pula, beliau membeli 100 tablet untuk dihadiahkan kepada pelajar yang perlu menghadiri kelas dalam talian.
Sebelum ini, Lew dilaporkan berkata, beliau menerima mesej daripada 43,000 individu yang memerlukan peranti seperti tablet dan telefon bimbit bagi keperluan anak menyertai PdPR.
Katanya, permohonan itu datang daripada orang kelainan upaya, individu tiada pekerjaan, anak yatim piatu dan keluarga kurang berkemampuan.