Johor nafi gelandangan di JB bertambah, tak terkawal sejak PKP

Johor nafi gelandangan di JB bertambah, tak terkawal sejak PKP

Berdasarkan data profil, daripada 237 individu yang didaftarkan, hanya 77 orang atau 40% yang benar-benar dikategorikan sebagai gelandangan.

Zaiton Ismail (tengah) melihat makanan yang disumbang NGO ke Pusat Transit Gelandangan di Johor Bahru untuk diagihkan kepada gelandangan.
JOHOR BAHRU:
Kerajaan Johor menafikan dakwaan jumlah gelandangan di bandar raya ini semakin bertambah dan tidak terkawal sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) Mac 2020 hingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail berkata, berdasarkan data profil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), 237 individu direkodkan dari Pusat Transit Gelandangan di pusat bandar itu.

Daripada jumlah itu, katanya, hanya 77 individu atau 40% yang tiada rumah, tempat berteduh atau dimasukkan dalam senarai gelandangan, manakala bakinya hanya dikategorikan sebagai pengambil makanan dan mempunyai rumah atau bilik sewa sendiri.

“Seramai 77 individu ini, pihak JKM cuba meletakkan mereka di Anjung Singgah dan ada di antara mereka yang bekerja, tetapi jumlah yang masuk ke Anjung Singgah itu datang dan pergi, berikutan kebanyakan mereka lebih bebas serta gemar duduk di sini (Pusat Transit Gelandangan).

Keadaan di kawasan letak kenderaan berhampiran Laman Tun Sri Lanang dipenuhi gelandangan selepas mengambil makanan di Pusat Transit Gelandangan.

“Kebanyakan mereka datang dari pelbagai negeri dan bukan sahaja dari Johor, jadi menerusi data profil yang dibuat ini, kita dapat maklumat lengkap berapa ramai yang betul-betul tiada tempat tinggal yang boleh dibantu,” katanya di Pusat Transit Gelandangan di kawasan letak kenderaan berhampiran Laman Tun Sri Lanang.

Dalam perkembangan lain, Zaiton berkata, lebih 40 NGO tampil membantu menyalurkan pelbagai sumbangan, antaranya makanan dan pakaian ke Pusat Transit Gelandangan.

“Bagaimanapun, jumlah makanan diperlukan di sini berdasarkan data hanya 237, tetapi pada hujung minggu baru-baru ini, pusat ini terima kira-kira 2,000 pek makanan yang disumbangkan.

“Ini menyebabkan lebihan dan makanan terpaksa diagihkan ke kawasan projek perumahan rakyat (PPR) bagi mengelakkan pembaziran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.