
Ini merupakan rekod baru untuk jumlah kluster baru, sebelum ini 16 kluster dicatatkan pada 20 dan 21 Jan lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 15 daripada kluster baru itu berkaitan tempat kerja dan baki dua lagi berkaitan komuniti.
Johor mencatatkan enam kluster baru, iaitu Parit Lanjut, Industri Grisek, Jalan Trus, Jalan Medini, Tengah Tiga dan Pengerang Utara, sementara empat kluster dikesan di Kuala Lumpur membabitkan kluster Tapak Bina Persiaran Tecoma, Jalan Danau, Jalan Yahya serta Jalan Pudu.
Tiga kluster di Selangor ialah Tapak Bina Tanjung, Persiaran Perkilangan dan Jalan Mutiara, kluster Jalan Seri dan Jalan Pengkalan di Perak serta masing-masing satu kluster di Sabah dan Sarawak, iaitu Jalan Sulaman serta Bedayan.
Kluster Parit Lanjut dikesan di Muar, Johor, dengan kes pertama disahkan positif 23 Jan lalu hasil saringan bersasar pekerja kilang yang tinggal di Kampung Parit Lanjut, Bukit Pasir. Sehingga kini, 547 kes positif dilaporkan selepas 1,451 individu disaring.
Kluster Industri Grisek melibatkan daerah Tangkak dan Muar, dengan kes positif dilaporkan 23 Jan lalu hasil saringan bersasar pekerja kilang di Kawasan Perindustrian Grisek, Tangkak. Sebanyak 145 kes positif dikesan selepas 537 orang disaring.
Kluster Jalan Trus membabitkan Johor Bahru dan Kluang, di mana kes indeks dilaporkan positif 21 Jan lalu hasil saringan kemasukan ke wad. Kluster ini melibatkan kakitangan pusat pentadbiran awam di Jalan Trus, Johor Bahru. Selepas 77 individu disaring, 10 kes positif dicatatkan.
Kluster Jalan Medini dikesan di Johor Bahru, dengan kes indeks disahkan positif 15 Jan lalu menerusi saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan sebuah syarikat perkhidmatan di Jalan Medini Sentral 5, Nusajaya. Selepas 291 individu disaring, 13 kes positif direkodkan.
Kluster Tengah Tiga di Kluang, Johor dikesan selepas kes indeks dilaporkan positif 21 Jan lalu hasil saringan individu bergejala melibatkan pekerja sebuah kilang di Batu 3, Jalan Kampung Tengah. Kini, sembilan individu disahkan positif selepas 78 orang disaring.

Kluster Pengerang Utara di Kota Tinggi dikesan selepas kes indeks dilaporkan positif 18 Jan lalu hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan pekerja syarikat perkhidmatan di Jalan Persiaran Utara, di mana 26 kes positif dicatatkan selepas 235 orang disaring.
Kluster Tapak Bina Persiaran Tecoma melibatkan daerah Kepong di Kuala Lumpur. Kes positif dikesan hari ini hasil saringan bersasar tapak pembinaan di Persiaran Tecoma, Country Height. Daripada 376 orang yang disaring, 157 individu disahkan positif.
Kluster Jalan Danau dikesan di Titiwangsa, Kuala Lumpur hasil saringan bersasar ke atas pengawal keselamatan yang bekerja di Jalan Danau Saujana 1, Setapak. Sebanyak 11 kes positif dikesan selepas 47 individu disaring.
Kluster Jalan Yahya di Titiwangsa, Kuala Lumpur dikesan selepas kes indeks dilaporkan positif 26 Jan lalu hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan kakitangan dan pelajar sebuah institut latihan di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur. Lapan kes positif direkodkan selepas 100 individu disaring.
Kluster Jalan Pudu di Lembah Pantai membabitkan pelajar sebuah institut latihan di Jalan Pudu, Lembah Pantai, di mana kes indeks disahkan positif hari ini menerusi saringan individu bergejala. Seramai 13 daripada 151 orang yang disaring disahkan positif.
Kluster Jalan Mutiara di Petaling, Selangor, dikesan hasil saringan pra pekerjaan pengawal keselamatan di Mutiara Damansara, di mana semua 32 individu yang disaring disahkan positif.
Kluster Tapak Bina Tanjung di Kuala Langat, Selangor dikesan selepas kes positif dilaporkan bermula 10 Jan lalu hasil saringan bersasar di sebuah tapak pembinaan di Mukim Tanjung 12, Dengkil. Setakat ini, 46 daripada 1,252 individu yang disaring disahkan positif.
Kluster Persiaran Perkilangan melibatkan daerah Petaling dan Klang di Selangor. Kes positif dilaporkan 18 Jan lalu hasil saringan bersasar sebuah kilang di Shah Alam. Sebanyak 19 kes positif dicatatkan selepas 2,121 orang disaring.
Kluster Jalan Sulaman membabitkan daerah Kota Kinabalu di Sabah. Kes indeks disahkan positif hari ini hasil saringan individu bergejala yang merupakan pekerja pasar raya di Sulaman Sentral. Seramai 111 individu disaring dan 23 daripadanya didapati positif.
Kluster Jalan Seri membabitkan daerah Kinta di Perak. Kes indeks ialah kes Influenza Like Illnesses (ILI) yang disahkan positif 23 Jan lalu. Kluster ini melibatkan kakitangan sebuah pusat pentadbiran awam di Jalan Dato Seri Ahmad Said, Ipoh. Kini, 17 daripada 24 individu yang disaring dikesan positif.
Kluster Jalan Pengkalan ialah kluster komuniti melibatkan Kinta, Kerian dan Kampar di Perak. Kes indeks dilaporkan positif 23 Jan lalu hasil saringan sebelum pulang ke negara asal. Nama kluster ini merujuk lokaliti kediaman kes indeks di Bandar Seri Pengkalan, Kinta. Sejumlah 104 individu disaring dan 41 kes positif dikesan.
Kluster Bedayan ialah kluster komuniti melibatkan Serian dan Samarahan di Sarawak. Kes indeks disahkan positif 20 Jan lalu hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan beberapa majlis sosial di Kampung Bedega dan Kampung Antayan, Serian. Selepas 112 individu disaring, 13 kes positif dicatatkan.
Sementara itu, Hisham berkata, tujuh kluster tamat hari ini, iaitu Desa Idaman, Hala Mutiara, Slot Berjaya, Sungai Keluang, Dialisis, Tapak Bina Jalan Berangan dan Tapak Bina Ikon Bintang.
Ini menjadikan 404 daripada 770 kluster sudah berakhir setakat ini.
Katanya, 80 kluster mencatatkan pertambahan kes baru hari ini, dengan yang tertinggi ialah kluster Parit Lanjut (521), Tapak Bina Persiaran Tecoma (157) dan Industri Grisek (144).