Polis Johor serbu ‘pusat panggilan’ along, rampas lebih 200 telefon

Polis Johor serbu ‘pusat panggilan’ along, rampas lebih 200 telefon

Dua wanita tempatan berusia 19 dan 28 tahun turut ditahan.

Sebanyak 236 telefon bimbit dan tiga komputer dirampas menerusi Ops Vulture di Bukit Indah, Iskandar Puteri dan Ulu Tiram semalam. (Gambar Polis Johor)
JOHOR BAHRU:
Dua wanita tempatan ditahan dan lebih 200 telefon bimbit dirampas dalam serbuan di beberapa lokasi yang dipercayai dijadikan “pusat panggilan” untuk kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Mohd Salleh Abdullah berkata, dalam Ops Vulture yang bermula 8.30 pagi semalam di sekitar Bukit Indah, Iskandar Puteri dan Ulu Tiram itu, polis merampas 236 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga komputer, modem serta mesin perakam waktu kehadiran bekerja.

Katanya, dua wanita berusia 19 dan 28 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak kurang 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan ahli sindiket lain yang terlibat dalam kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen ini.”

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen untuk menghubungi Pegawai Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Timmy Aheng di 019-7773278 atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di talian 07-2254422.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.