
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, lanjutan PKPD di dua lokaliti itu membabitkan Penjara Bentong dan Penjara Taiping termasuk kuaters kakitangan selama 14 hari lagi sehingga 22 Feb.
Ini berikutan masih berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19 di lokaliti terbabit termasuk masih ada individu menunggu keputusan, selain terdapat tahanan bergejala.
“PKPD di Penjara Bentong dan Kuarters Kakitangan dijadualkan tamat pada 8 Februari 2021. Sehingga kini, 2,085 ujian saringan telah dilaksanakan yang melibatkan tahanan, kakitangan serta kontak rapat dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 767 kes positif telah direkodkan.
“PKPD di Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangan juga dijadualkan tamat pada 8 Februari 2021.Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 544 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 112 kes positif telah direkodkan merangkumi 90 banduan, 21 kakitangan serta satu ahli keluarga,” katanya menerusi kenyataan ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP dalam membendung Covid-19.
Sementara itu Ismail turut memaklumkan kerajaan bersetuju menamatkan PKPD
di Blok Transit (Blok Muhasabah) Penjara Jelebu, Negeri Sembilan hari ini seperti dijadualkan.
Dalam perkembangan sama, Ismail memaklumkan polis semalam menahan 789 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu 764 dikompaun, 21 individu direman manakala empat dijamin.
“Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (191), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (160), tiada penjarakan fizikal (110), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (128), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (41), keluar rumah tanpa alasan munasabah (23) dan lain-lain (136),” katanya.
Dalam tempoh sama, menerusi Operasi Benteng, pihak berkuasa menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat kenderaan darat.
Sementara itu, pihak berkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan 1,836 pemeriksaan khas pematuhan SOP. Daripada jumlah itu 1,822 premis mematuhi SOP, lima diberi amaran manakala sembilan dikompaun.