Ibu tunggal tuntut pampasan kematian suami 7 tahun lalu

Ibu tunggal tuntut pampasan kematian suami 7 tahun lalu

Plaintif turut menuntut perintah mahkamah untuk meminda Seksyen 2 (a) Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam.

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan ibu tunggal itu pada Disember lalu dengan menyatakan dia seharusnya mengemukakan tuntutan pada atau sebelum 1 Jun 2016.
KUALA LUMPUR:
Seorang ibu tunggal mengemukakan tuntutan terhadap kerajaan untuk mendapatkan ganti rugi atas kematian suaminya P Karuna Nithi di lokap polis di Tampin, tujuh tahun lalu.

R Kaliamah, 44 yang memasukkan anak-anaknya, K Yugesh Varan, 22 dan Kisho Kumar, 20, juga mahu perisytiharan yang 16 defendan, termasuk 14 anggota polis, secara langsung dan tidak langsung melanggar hak mereka bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif turut menuntut perisytiharan bahawa Seksyen 2 (a) Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam (PAPA) 1948 adalah di luar kuasa Artikel 8 (1) dan 69 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mahu perintah konsekuensi supaya peruntukan PAPA itu dipinda oleh mahkamah berdasarkan Artikel 162 (6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikannya sesuai dengan perlembagaan, baik dengan memansuhkannya atau dengan mengubahnya, dengan mengganti kata-kata “tiga puluh enam bulan” hingga “tujuh puluh dua bulan”.

Dalam saman pemula melalui Tetuan Ong & Partners di Mahkamah Tinggi di sini pada 26 Jan, pihak plaintif juga menuntut ganti rugi, faedah dan bantuan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Karuna Nithi ditahan pada 28 Mei 2013 namun meninggal dunia ketika dalam tahanan pada 1 Jun 2013, dengan kesan 49 kecederaan baharu di badannya.

Kaliamah dalam afidavitnya untuk menyokong tindakan itu menyatakan, defendan pertama hingga ke-13 yang berada bawah arahan, undang-undang dan dasar pentadbiran ketua polis negara, menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia bertanggungjawab.

Berikutan siasatan, plaintif mengemukakan saman kerana cuai, dan serangan terhadap defendan, kerana menyebabkan kematian si mati, di Mahkamah Tinggi di Seremban pada 25 Jan 2018.

Namun, Kaliamah menyatakan defendan pada 8 Okt 2018 berjaya membatalkan saman itu dengan alasan ia dilarang oleh Seksyen 2 (a) PAPA. Mahkamah Rayuan juga mengekalkan keputusan itu.

Mahkamah Persekutuan pada Disember turut menolak rayuan itu, dengan alasan saman berkenaan dilarang bawah Seksyen 2 (a) PAPA, kerana tindakan harus bermula dari tarikh kematian si mati dan bukan dari tarikh keputusan inkues.

Mahkamah menyatakan Kaliamah seharusnya mengemukakan tuntutannya pada atau sebelum 1 Jun 2016.

Kaliamah berkata, prinsip kesaksamaan bawah perlembagaan dilanggar kerana kerajaan diberi masa hingga 72 bulan untuk menuntut sedangkan saman oleh orang awam terhadap kerajaan mesti diajukan dalam tempoh 36 bulan.

Dia menyatakan, PAPA sebagai undang-undang pra-Merdeka tunduk pada kuasa mahkamah berdasarkan Artikel 162 (6) dan (7) perlembagaan.

Katanya, undang-undang itu harus selaras dengan undang-undang tertinggi dengan membaca Seksyen 2 (a) PAPA untuk memberi tempoh had 72 bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.