Komuniti pertanian beri harapan kepada penduduk Sabah

Komuniti pertanian beri harapan kepada penduduk Sabah

Penduduk di empat kampung Kota Belud menuai hasil projek berasaskan pertanian bawah inisiatif NGO.

Efandi Eldy Lim mengusahakan ladangnya di Kampung Bokilong di Kadamaian, Kota Belud, Sabah. (Gambar Hopes Malaysia)
KOTA KINABALU:
Efandi Eldy Lim pernah dibelenggu kebimbangan bagaimana untuk mencari rezeki buat isteri dan lima anaknya.

Lelaki berusia 37 tahun itu bekerja keras demi keluarganya yang miskin, melalui pelbagai pekerjaan seperti membaiki dan membina rumah kampung, selain bertani secara kecil-kecilan, di Kampung Bokilong, Kota Belud, di kaki Gunung Kinabalu di daerah Kadamaian.

Tetapi kini dia tidak perlu terlalu risau susulan hasil program pembangunan komuniti lestari yang dimulakan Hopes Malaysia, sebuah NGO yang membantu empat kampung di daerah Kadamaian, termasuk keluarga Efandi, sejak 2016.

Kampung lain termasuk Kampung Kaung Ulu, Kampung Podos dan Kampung Tudan.

Efandi Eldy Lim melepaskan ikan tilapia ke dalam kolam di belakang rumahnya di Kampung Bokilong.

Mahu membasmi kemiskinan di kampung terbabit, organisasi itu membantu membina projek graviti air berskala besar pada 2019 yang membekalkan air bersih kepada lebih 3,000 penduduk kampung berkenaan.

Penduduk kampung itu kini, memanfaatkan bekalan air untuk hasil tanaman dan ternakan unggas serta ikan air tawar. Ini bermaksud lebih banyak peluang untuk penduduk kampung meraih pendapatan.

Selain itu, Hopes Malaysia memulakan projek kehidupan lestari tahun lalu untuk meningkatkan aktiviti pertanian, keselamatan makanan dan kesejahteraan sosio-ekonomi penduduk kampung.

Hasil segar dari kampung dipasarkan melalui kedai dalam talian Tamu Kita.

Efandi berkata, perbezaan kehidupan penduduk kampung sebelum dan selepas NGO itu memulakan program tersebut dapat dilihat dengan ketara.

“Saya dulu sangat bimbang bagaimana mahu menjana pendapatan tetapi kini tidak lagi,” katanya kepada FMT.

Katanya, sebelum program Hopes Malaysia, aktiviti pertanian di kampungnya kurang diselaraskan.

“Sebagai contoh, setiap orang menggunakan teknik pertanian mereka sendiri tanpa tahu apakah ia berhasil dan tidak pernah peduli dengan apa yang ditanam oleh orang lain.

Pengasas Hopes Malaysia Sam Lee (empat dari kiri), fasilitator dan penduduk kampung semasa bengkel pertanian di Kampung Bokilong.

Efandi berkata, Hopes Malaysia menganjurkan bengkel dan membawa pakar pertanian dari universiti untuk mengajar rahsia pertanian dan meningkatkan produktiviti, selain menyediakan bahan mentah seperti anak benih dan baja pada fasa permulaan.

“Jualan mingguan bagus dan kadang-kadang mencecah antara RM300 hingga RM400. Ini adalah pendapatan dari Tamu Kita sahaja, tidak termasuk pesanan orang lain, termasuk kampung berhampiran,” katanya.

Pengasas Hopes Malaysia Sam Lee berkata, sehingga Disember tahun lalu, penghantaran (produk) mingguan Tamu Kita berjaya meraih sebanyak RM48,000 sebagai pembayaran terus kepada petani, yang menguntungkan 62 keluarga di kampung berkenaan.

Tahun ini, kata Lee, NGO itu merancang untuk memperluaskan impak sosialnya bagi membantu golongan tidak bernasib baik dalam jangka masa panjang melalui pelbagai program.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.