79 hotel setuju ‘buka pintu’ untuk pekerja asing, kata Nancy

79 hotel setuju ‘buka pintu’ untuk pekerja asing, kata Nancy

Selain membantu majikan mematuhi undang-undang, program itu juga secara tidak langsung membantu pengendali hotel yang terkesan teruk akibat pandemik.

Pekerja asing yang tinggal dalam keadaan yang berisiko merebakkan Covid-19 kini boleh ditempatkan sementara waktu di hotel.
PETALING JAYA:
Sejumlah 79 hotel mengambil bahagian dalam program penginapan sementara untuk pekerja asing ditempatkan di hotel, sejajar dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990. (Akta 446).

Ini didedahkan menteri pelancongan, seni dan budaya Nancy Shukri pada sidang media secara maya hari ini pada sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina kebangsaan tahunan.

Program itu adalah kolaborasi antara kementerian pelancongan, seni dan budaya dengan Jabatan Buruh dan akan menempatkan pekerja asing untuk sementara waktu di hotel bagi mengekang penularan kes Covid-19, terutama dengan bilangan besar kluster tempat kerja yang dilaporkan.

“Walaupun 79 hotel telah mendaftar untuk program itu, tiada maklum balas daripada Jabatan Buruh mengenai penyertaan pihak majikan,” katanya.

Keputusan untuk melaksanakan program penginapan sementara itu dicapai ketika sesi khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan Covid-19, pada 26 Jan.

Selain membantu majikan mematuhi keperluan minimum mengikut undang-undang pekerja itu, program berkenaan juga secara tidak langsung membantu pengendali hotel yang terkesan teruk akibat pandemik.

Ini susulan penutupan lebih 100 hotel sejak wabak berlaku hampir setahun lalu, menurut Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Sementara itu, Nancy berkata rumah terbuka Tahun Baharu Cina kebangsaan 2021 diadakan secara dalam talian tahun ini disebabkan pandemik.

Antara lain, sambutan maya itu akan merangkumi pelbagai persembahan tarian kebudayaan dan akan disiarkan di laman Facebook RTM pada jam 9 malam Sabtu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.