‘Orang lain tidak pernah jadi PM selama saya’, Dr M jelaskan kenapa masih dalam kancah politik negara

‘Orang lain tidak pernah jadi PM selama saya’, Dr M jelaskan kenapa masih dalam kancah politik negara

Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pengkritik bahawa beliau mempunyai pengalaman selama 80 tahun dalam politik dan 31 tahun sebagai perdana menteri.

PETALING JAYA:
Walaupun “dijatuhkan” sebagai perdana menteri dan menjangkau usia 95 tahun, Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mempunyai pengalaman luas “yang tidak dimiliki sesiapa” untuk terus menyumbang kepada negara.

Dengan pengalaman selama 80 tahun dalam politik dan 31 tahun sebagai perdana menteri, Mahathir dalam wawancara video Sinar Harian memberitahu pengacara bahawa masih ada pihak yang mengharapkan kebolehan beliau.

“Saya mempunyai pengalaman yang banyak, yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja. Sebab itu, kalau ada orang datang jumpa saya, mereka minta saya buat sesuatu, jadi saya cuba buat sesuatu. Setakat ini untuk buat sesuatu, saya boleh sumbang pendapat.

“Saya yakin, orang lain tidak ada (pengalaman sebegitu) kerana tidak pernah menjadi perdana menteri untuk sekian lamanya,” katanya ketika ditanya apakah yang beliau boleh berikan kepada rakyat.

Mahathir berkata demikian selepas menyentuh parti yang cuba ditubuhkannya, Pejuang, yang masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Beliau menubuhkan parti itu, setelah PPBM yang dipimpinnya keluar daripada Pakatan Harapan, sekali gus memaksa beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Feb tahun lalu.

Mahathir menuduh Muhyiddin Yassin sebagai dalang utama dalam PPBM yang menyebabkan beliau terpaksa meletak jawatan. Muhyiddin kemudian dilantik sebagai perdana menteri baharu, dengan sokongan PAS, Umno dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Dalam wawancara itu, Mahathir berkata Muhyiddin mengintai jawatan menteri kewangan setelah PH memenangi pilihan raya umum 2018.

Muhyiddin sebaliknya dilantik sebagai menteri dalam negeri, manakala portfolio kewangan digalas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mahathir membuat keputusan itu atas dasar semua ketua parti komponen harus diberi jawatan kanan, selain rekod Guan Eng sendiri sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

“Dia (Guan Eng) dapat urus kerajaan Pulau Pinang dengan baik, hutang semua dihapuskan. Kita pilih dia kerana dia ada kebolehan dalam bidang itu, walaupun yang berminat untuk menjadi menteri kewangan adalah Muhyiddin,” katanya.

Pelantikan Lim bagaimanapun mengundang pertikaian daripada beberapa pihak. Menjawab hal itu, Mahathir berkata:

“Kita bagi kepada Melayu, tengoklah apa yang Melayu buat? Tidak kena. Kita beri kepada Najib Razak untuk jadi menteri kewangan, apa yang dia lakukan? Dia Melayu. Kalau hendak pilih Melayu, kena tengok juga apa yang dia lakukan,” katanya.

“Budak-budak Anwar jahat”

Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengulas tentang sokongan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, kepadanya semasa pentadbiran kedua beliau.

Anwar merupakan pilihan pertama PH untuk jawatan perdana menteri. Dalam persefahaman antara parti komponen PH, akan ada peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar.

Mahathir berkata desakan berundur daripada penyokong-penyokong Anwar ada dibangkitkan dalam pertemuan mereka ketika beliau masih menjadi perdana menteri.

“Dia datang jumpa saya, selalu sokong saya cukup kuat, tetapi dia kata ‘budak-budak’ dia ini ‘jahat’, dia tidak boleh kawal. Tidak apalah, saya tidak khuatir untuk letak jawatan,” katanya.

Mahathir juga nampak seperti tidak berpuas hati dengan kelakuan Anwar selepas beliau bebas daripada penjara.

“Anwar bila dia keluar, sepatutnya dia sokong tindakan saya. Tetapi dia lebih usaha jumpa raja-raja, semuanya nampak seoalah-olah menyokong saya,” katanya.

Pengacara bagaimanapun membalas pendedahan itu dengan bertanyakan adakah “budak-budak” Mahathir turut bersikap “jahat” terhadap Anwar.

“Mungkin, tetapi itu saya tidak tahulah, bukan saya punya kerja,” katanya.

Dalam wawancara itu juga, Mahathir akui pernah beranggapan yang beliau berpeluang untuk berehat dan meluangkan masa untuk dirinya sendiri selepas meletakkan jawatan perdana menteri pada 2003.

Namun tidak lama selepas berundur, rombongan demi rombongan merayu perhatian beliau kepada isu-isu berbangkit.

“Bila saya letak jawatan pada 2003, saya berharap saya akan dapat berehat, mungkin menikmati kehidupan, berjalan sana-sini. Tetapi seminggu lepas saya letak jawatan, orang datang minta kepada saya untuk berbuat sesuatu, kerana mereka berpendapat yang menjadi perdana menteri ketika itu tidak menjalankan tugas dengan baik.

“Satu minggu sahaja, sudah nampak keadaan yang lain. Selepas itu, rombongan demi rombongan datang minta saya buat sesuatu.

“Bagi saya, saya cuba nasihat tetapi nasihat tidak berkesan dan akhirnya saya terpaksa keluar dari parti (Umno) dan menentang kerajaan, parti yang dahulunya adalah parti saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.