
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, syarikat baharu itu telah memasuki usaha sama dengan KXP Airportcity Holdings Sdn Bhd, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang akan membangunkan keseluruhan projek itu.
Dalam sidang media di sini, beliau berkata syarikat itu diberi emam bulan mulai hari ini untuk mengumpulkan RM2 bilion bagi pengambilan 9,841 ekar (4,000ha) tanah itu, yang telahpun diberi milik dan diluluskan untuk pembelian.
Lapangan terbang itu serta pembangunan berkaitan lain yang diumumkan sebelum ini, akan menelan kos keseluruhan RM6.8 bilion.
“Kami telah menerima cadangan daripada sebuah syarikat untuk menggunakan inisiatif kewangan swasta atau PFI untuk memperoleh dan membangunkan ‘aerotropolis’ itu.
“Kami telah meluluskan cadangan ini secara prinsipal dan dengan usaha wajar oleh KXP Airportcity Holdings Sdn Bhd berhubung syarikat baharu ini dari semasa ke semasa.
“Syarikat baharu itu mesti mendeposit RM2 bilion di Pejabat Tanah dan Galian bagi membolehkan pengambilan tanah itu enam bulan dari hari ini,” katanya.
Sanusi berkata, kerajaan negeri turut meluluskan 14,000 ekar tanah tambahan untuk diambil oleh kerajaan atas permintaan syarikat baharu itu.
Katanya, syarikat kenderaan tujuan khas (SPV) juga akan diwujudkan antara sebuah GLC negeri dan syarikat baharu terbabit bagi merunding lesen lapangan terbang daripada kementerian pengangkutan.
Sanusi berkata, kehadiran syarikat baharu itu tepat pada masanya kerana permintaan kerajaan negeri untuk pinjaman RM2.5 bilion daripada Putrajaya tidak mendapat reaksi positif.
Lapangan terbang itu yang diberi nama kod KXP dicadangkan untuk lokasi seluas 1,700ha berhampiran Sungai Petani dan akan mengendalikan 15 juta penumpang setahun sebaik siap. Kerajaan negeri sebelum ini menjangkakan penerbangan di situ bermula seawal 2024.