Revolusi digital sangat diperlukan dalam sistem pendidikan, kata Tok Mat

Revolusi digital sangat diperlukan dalam sistem pendidikan, kata Tok Mat

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika negara dilanda pandemik Covid-19 menunjukkan guru dan pelajar sekolah seperti belum bersedia melakukannya secara maya.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, kualiti pengajaran perlu diperbaiki dengan kadar segera.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) digesa untuk memperkasa pendidikan negara agar dapat memulakan revolusi digital dalam pendidikan nasional secara besar-besaran.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika negara dilanda pandemik Covid-19 menunjukkan guru dan pelajar sekolah seperti belum bersedia dalam pengajaran serta pembelajaran secara maya.

“Kalangan guru tidak pernah disediakan untuk mengajar mod maya dan pelajar tidak pernah belajar dari rumah. Ibu bapa juga rasa sangat terbeban.

“Apa lagi dengan segala defisit prasarana, ketidakmampuan membeli peranti dan data serta pelbagai rintangan lain,” katanya di Facebook.

Mohamad Hasan atau dikenali sebagai Tok Mat berkata sektor pendidikan negara jelas ketinggalan dari segi ketersediaan menghadapi pendidikan alaf baharu yang berteraskan teknologi digital.

Beliau berkata semua perlu yakin pendidikan digital akan terus kekal dan menjadi paradigma baru sektor pendidikan Malaysia.

“Kita telah bereksperimen dengan pendidikan maya disemua peringkat selama setahun,” katanya.

Tok Mat juga menggesa keberkesanan dan kualiti PdPR mesti segera dipertingkatkan.

Katanya, KPM perlu menggalakkan guru dan murid berimaginasi dan meneroka segala kreativiti dengan sebebas-bebasnya.

“Inilah waktunya untuk membongkar segala idea, kreativiti, imaginasi dan penerokaan kaedah luar biasa dalam mengajar dan belajar.

“Namun pengajaran harus berlaku dan bukan sekadar hanya memberi tugasan dan pautan berkaitan. Tugas guru adalah mencerah, menjelas dan memberi kefahaman hakiki melalui ‘reevaluation, rethinking and reimagination’,” katanya.

Tok Mat juga meminta kerajaan melihat keluhan ibu bapa pelajar dengan sebaiknya dan meyakinkan mereka pendidikan PdPR adalah satu-satunya pilihan waktu ini.

Katanya, tanpa pembelajaran sebegini, kerugian adalah pada masa depan pelajar sekolah.

“Terakhir, segerakan agihan laptop dan peranti percuma kepada pelajar kurang berkemampuan dan sediakan kuota internet percuma setiap hari agar tiada siapapun akan tercicir dan tertinggal.

“Tiada harga yang mahal untuk mendidik anak bangsa kerana nilai kejahilan itu jauh lebih mahal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.