
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata ini boleh dilakukan sebaik Agensi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) meluluskan vaksin lain seperti Sinovac dan Sputnik.
“Saya menerima rayuan daripada guru, imam, paderi, kakitangan penerbangan dan mereka dalam industri perkapalan supaya dimasukkan dalam fasa pertama. Bagaimanapun, buat masa ini kita tidak mempunyai bekalan mencukupi untuk menyertakan mereka.
“Sebaik NPRA meluluskan vaksin lain, saya akan memasukkan kumpulan ini dalam fasa pertama,” katanya dalam forum maya Clubhouse pada Jumaat. Fasa pertama program vaksinasi kebangsaan bermula Jumaat depan (26 Feb).

Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya boleh dibuat selepas penilaian risiko untuk melihat bagaimana mereka terdedah kepada bahaya ketika melaksanakan tugas.
Khairy berkata, golongan pertama yang akan menerima vaksin melibatkan pekerja penjagaan kesihatan, pegawai penjara, anggota polis, bomba, Rela serta tentera dan pekerja kebajikan. Kategori berkenaan merangkumi kira-kira 500,000 orang.
Sementara itu, Khairy berkata menjelang 29 Mac, Malaysia dijangka menerima 1.35 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech.
“Seperti kita maklum, vaksin pertama Pfizer akan tiba esok, disusuli lima lagi penghantaran yang berakhir pada 29 Mac,” katanya.
Menjawab soalan mengenai penyebaran maklumat palsu mengenai vaksin Covid-19 oleh doktor, Khairy berkata orang awam atau doktor lain boleh melaporkan mereka kepada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
“Kita memerlukan sesama anggota masyarakat untuk melawan golongan antivaksin,” katanya.
Polis kini menyiasat seorang doktor yang memberikan pandangannya dalam video di Facebook mengenai vaksin berkenaan, berkaitan tuduhan menggugat keamanan mengikut Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Khairy juga berkata, orang awam tiada pilihan mengenai jenis vaksin diterima.
“Itu akan mewujudkan kesukaran dari segi logistik selain kemungkinan mencetuskan prasangka terhadap vaksin tertentu jika ini dibenarkan,” katanya dengan menambah mana-mana vaksin yang dinilai oleh NPRA adalah selamat.